Ad

Friday 26 July 2013

'Pemain senior masih bagus'


KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini masih belum cukup untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam senarai kesebelasan utama. Masih yakin dengan kelibat pemain-pemain senior, dia mendedahkan masih belum ada tempat secara automatik buat mereka tetapi tidak mahu bersikap terus menutup pintu kepada mereka jika mampu menampilkan rentak konsisten dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan di Jepun ini. Bakal berdepan kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse hari ini, Rajagobal berkata, dia sebagai jurulatih, lebih arif mana pemain yang wajar diturunkan dalam perlawanan itu nanti. "Kita kena faham ini adalah perlawanan persahabatan dan ini adalah masa terbaik buat saya menguji semua pemain dan kalau ada yang menyerlah, mereka mungkin boleh menjadi pilihan terbaharu untuk menentang Bahrain nanti. "Memang ada pemain baharu yang menyertai kami bermain cukup baik tetapi bila menjelang aksi sebenar di pentas antarabangsa, pemain yang lebih senior dan berpengalaman selalunya tidak menghampakan saya jika diberikan peluang. "Saya tahu pemain mana yang boleh diharapkan bila tiba perlawanan sebenar," katanya. Apa yang diperkatakan oleh Rajagobal itu pasti menjadi satu cabaran besar kepada buat pemain-pemain seperti Mohd. Nizad Ayub, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dan Junior Eldstal untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang biarpun telah menunjukkan prestasi terpuji semasa perlawanan persahabatan berdepan Chonburi F.C dan Chelsea minggu lalu. Apatah lagi bukan semua pemain senior dalam skuad pada waktu ini berada di tahap terbaik seperti Safee Sali, Mohd. Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani, namun ia masih belum mencukupi memenangi kepercayaan Rajagobal. Jelasnya, bertemu Shimizu yang merupakan kelab dari liga utama Jepun, bukanlah sesuatu yang mudah tambahan kebanyakan pemainnya masih kepenatan melalui dua perlawanan dalam seminggu yang lalu. "Perlawanan esok bukan mudah..kita akan bertemu pasukan dari J-League, tambahan sedang berpuasa lagi, saya bukan hendak memberi alasan tetapi inilah realiti pasukan kita sekarang. "Kita juga menghadapi dua perlawanan dalam masa terdekat ditambah dengan menaiki penerbangan dari Malaysia ke Jepun, pemain saya tidak berada di tahap kecergasan yang dikehendaki," katanya. Shimizu S-Pulse kini menduduki di tangga ke-11 J-League daripada 18 pasukan dengan 22 mata dari 17 perlawanan dan pada perlawanan terakhir, kelab yang dibimbing pengurus dari Iran, Afshin Ghotbi itu seri 2-2 bertemu Kashiwa Reyol pada 17 Julai lalu. Juara Piala Liga Juara-Juara Asia tahun 1999/2000 itu diperkuatkan dengan beberapa pemain import seperti pertahanan dari Belanda, Calvin Jong-A-Pin serta dua pemain Korea Selatan, Lee Minsoo dan Lee Kije. Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Shonan Bellmare pada hari Sabtu sebelum menutup tirai aksi persahabatan di Jepun dengan menentang kelab J League 2, Tokyo Verdy, pada 31 Julai.

No comments:

Post a Comment