Ad

Wednesday 23 July 2014

Azizul tekad balas dendam

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 
DUA pelumba negara, Mohd. Rizal Tisin (kanan) dan Edrus Yunos menjalani latihan di Velodrom Sir Chris Hoy di Arena Emirates, Glasgow semalam, untuk persiapan akhir sebelum acara berbasikal trek bermula hari ini. - AFP
KUALA LUMPUR - Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang bertekad untuk memenangi pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland bagi menebus kekecewaan dialaminya empat tahun lalu.

Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, pingat emas keirin yang diraih Azizulhasni ditarik balik apabila pelumba itu dibatalkan oleh pegawai pertandingan atas dakwaan membuat kayuhan yang amat agresif hingga mengganggu pelumba lawan.

Bagaimanapun, Malaysia bernasib baik apabila pingat emas tersebut diberikan kepada rakan sepasukan Azizulhasni, Josiah Ng.

Kata Azizulhasni, persiapan untuk temasya Glasgow telah berlangsung dengan baik selain berpuas hati dengan prestasi semasanya ketika ini.

Tambah pelumba dari Terengganu itu, tumpuannya dalam penyertaan kali ini lebih kepada untuk menebus kekecewaan di New Delhi dalam acara keirin.

"Sasaran peribadi, saya sentiasa nak menang terutama kalau dalam saingan besar seperti ini (Sukan Komanwel) dan buat masa ini saya sasarkan pingat untuk acara keirin.

"Jika dapat meraih lebih banyak pingat itu adalah bonus kerana cabaran kali ini jauh lebih besar daripada edisi di New Delhi," kata Azizulhasni.

Saingan trek dalam Sukan Komanwel 2014 dijadual bermula esok dengan acara pecut akan menjadi tumpuan utama manakala keirin akan bermula pada Ahad.

Azizulhasni menjangkakan bakal menerima saingan lebih sengit kali ini daripada pelumba Australia dan New Zealand.

"New Zealand ketika ini memegang status juara dunia dan prestasi mereka sejak dua tahun lalu memang banyak meningkat manakala pelumba-pelumba Australia memang sentiasa berada di tahap terbaik.

"Malah saingan pada Sukan Komanwel kali ini juga sukar untuk dijangka kerana semua pelumba yang hadir adalah bertaraf dunia selain telah mencipta pelbagai kejayaan," jelas Azizulhasni.

Pada temasya sama empat tahun lalu pasukan berbasikal negara hanya mampu meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140724/su_01/Azizul-tekad-balas-dendam#ixzz38KXPbQ8C © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment