Ad

Friday 21 November 2014

Waspada serangan pantas Myanmar



Bukit Jalil: Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh mengingatkan anak buahnya supaya waspada dengan corak permainan pantas Myanmar meskipun beliau yakin sudah mempunyai rancangan tersendiri untuk memerangkap lawan pada pertemuan pertama saingan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Jalan Besar, Ahad ini.

Menurut pengendali berusia 51 tahun itu, beliau sudah mengumpul segala maklumat mengenai kekuatan Myanmar yang kini menggunakan khidmat bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic, hasil intipannya ketika pusingan kelayakan Piala AFF di Laos Oktober lalu.

“Saya saksikan dua perlawanan Myanmar pada pusingan kelayakan sebelum ini dan sudah tahu serba sedikit kekuatan dan kelemahan mereka.

“Myanmar cukup bahaya ketika melancarkan serangan balas pantas, tapi kita juga mempunyai strategi tersendiri,” kata Dollah pada sesi latihan terakhir skuad kebangsaan semalam sebelum berangkat ke Singapura hari ini.

Dollah berkata, Myanmar yang layak beraksi dalam Kumpulan B selepas muncul juara kumpulan pusingan kelayakan memiliki pemain bagus terutama penyerang berusia 21 tahun, Kyaw Ko Ko.

“Saya lihat mereka mempunyai kekuatan di bahagian serangan khususnya pemain jersi nombor 10 (Ko Ko).

“Tapi saya tidak letak pemain tertentu untuk menyekat pergerakannya cuma saya ingatkan pemain pertahanan supaya berhati-hati,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Selepas mengadakan latihan selama empat hari di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Dollah nyata lega peningkatan prestasi ditunjukkan 22 pemainnya.

Bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu percaya anak buahnya sudah bersedia untuk beraksi termasuk pemain perancang, Safiq Rahim yang semakin cergas daripada kecederaan.

“Ini hari terakhir kami berlatih di padang rumput tiruan dan pemain sudah mula menyesuaikan diri.

“Saya lihat ada peningkatan persefahaman pemain dan percaya kami akan membuktikan sesuatu nanti,” tegas Dollah yang dikritik hebat susulan keputusan buruk aksi persahabatan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:09 AM
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/10601#sthash.oSNtof9c.dpuf

No comments:

Post a Comment