Ad

Friday, 7 February 2014

Pahang mampu benam ego Johor DT

Pahang mampu benam ego Johor DT
 Oleh Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Prestasi pemain yang kini berada di kemuncak menjadi sandaran kukuh Pahang untuk menjinakkan pasukan berstatus bintang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Aura kejayaan membenam musuh tradisi LionsXII 2-1 minggu lalu bakal diteruskan pada pertemuan yang dilihat lebih banyak berpihak kepada tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh.


Ketua pasukan Tok Gajah, Razman Roslan berkata, dia yakin kejayaan akan berpihak kepada Pahang terutama selepas prestasi membanggakan dipamerkan pemain pada perlawanan Piala FA menentang LionsXII.Menurutnya, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan peminat akan menjadi pembakar semangat untuk berusaha mempamerkan persembahan terbaik seterusnya menjinakkan lawan.


“Walaupun ada sedikit kelonggaran di beberapa posisi, saya yakin semua itu dapat diatasi pemain untuk meneruskan kejayaan kali kedua berturut-turut.“Saya bersama Zesh Rehman, Damion Stewart dan Sharizan Salleh akan berusaha membentuk gandingan mantap menangkis setiap asakan penyerang lawan terutama menerusi Luciano Figueora, Pablo Cesar Aimar dan Amri Yahya,” katanya.

Dia berkata, untuk membentuk persefahaman lebih baik dan berkesan pemain perlu banyak berkomunikasi di atas padang selain saling membantu mengisi kekosongan posisi terutama apabila diasak.


Razman berkata, sekiranya pemain mampu mempamerkan corak permainan sama ketika menewaskan LionsXII tidak mustahil kemenangan akan berpihak kepada Pahang yang kini berada di tangga kesembilan.


Katanya, kehadiran semula penyerang R Surendren dan Dickson Nwakaeme yang mengalami kecederaan pada penampilan sulung bertemu LionsXII pada saingan Piala Sumbangsih turut diharap menjadi senjata pemusnah Pahang.

No comments:

Post a Comment