Projek memperluas kawasan
sekitar Masjidilharam, mengundang rungutan para jemaah yang mengadu sentiasa
sesat dan sukar sampai ke Kaabah. - AGENSI
MEKAH 6 Feb. - Projek menaik
taraf Masjidilharam bagi memperluas kawasan tanah suci itu di sini, telah
menyebabkan para jemaah sukar mencari jalan untuk menuju ke Kaabah.
Dalam satu tinjauan akhbar Arab
News baru-baru ini, pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci
itu sesat disebabkan kekurangan papan tanda dan maklumat jalan.
Seorang jemaah dari Turki yang
pertama kali datang ke tanah suci, merungut tentang kesukaran untuk mencari
jalan masuk ke Masjidilharam.
"Kesesakan jemaah serta
projek memperluas kawasan di sini menyebabkan ramai jemaah sesat dan tidak
dapat menentukan arah kiblat untuk menunaikan solat.
"Kami memerlukan lebih
banyak petunjuk jalan dalam pelbagai bahasa di dalam serta di luar
Masjidilharam untuk mengatasi masalah ini. Kakitangan yang mampu bertutur dalam
pelbagai bahasa juga boleh membantu dalam hal ini," kata Fatima dari
Istanbul.
Menurut pegawai, kira-kira
750,000 jemaah umrah datang ke Mekah setiap bulan dan jumlah tersebut dijangka
meningkat sehingga enam juta pada akhir musim ini.
Selain itu, pemandu teksi turut
didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi terhadap jemaah, terutama
ketika waktu sibuk dan lalu lintas sesak.
Menurut seorang pengunjung,
Abdul Rahman, kerajaan seharusnya meletakkan papan notis harga tambang teksi di
Masjidilharam.
"Jika tidak, pemandu teksi
akan terus mengenakan caj sebanyak 20 riyal (RM17.80) untuk perjalanan jarak
dekat dan mengambil kesempatan ke atas jemaah yang tidak boleh menggunakan
bas," katanya. - AGENSI
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_03/Projek-mega-sukarkan-jemaah#ixzz2sd0IrjrL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment