Saturday, 8 February 2014

Bola sepak boleh mati - Afandi

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Gaduh, gaduh dan gaduh lagi. Inilah yang mewarnai Liga Malaysia 2014 ketika ini apabila satu demi satu kejadian pergaduhan berlaku sedangkan musim ini baru sahaja bermula.

Belum reda dengan insiden di terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu, kini timbul pula isu membabitkan pergaduhan antara penyokong Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur malam semalam.

Ketika ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah mungkin menjadi individu yang paling sakit kepala untuk memikirkan jalan penyelesaian terbaik kepada masalah itu.

Beliau yang dihubungi mengakui, apa yang berlaku pada masa sekarang bukanlah sesuatu yang baik, malah boleh membunuh kemeriahan bola sepak tempatan jika gagal dibendung daripada sekarang.

Dalam masa sama, beliau berjanji akan meneliti segala bukti dan laporan yang akan diserahkan oleh komisioner perlawanan yang bertugas sebelum memutuskan terdapat sebarang kes atau diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Datuk Taufek Abdul Razak.

"Memang saya rasa dukacita dengan apa yang berlaku sekarang dengan perkembangan terbaru pula melibatkan pertemuan Pahang dan JDT yang berlaku di luar stadium malam tadi (semalam).

"Walaupun pergaduhan itu berlaku bukan di dalam stadium sekali pun, komisioner perlawanan mempunyai kuasa untuk membuat laporan jika membabitkan aspek keselamatan.

"Saya akan menunggu laporan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum memberi kata putus dalam isu ini kerana banyak perkara perlu diteliti dan perkara ini pasti akan disiasat oleh FAM jika terdapat bukti-bukti kukuh," katanya.

Tambahnya, kebimbangan para peminat untuk ke stadium pasti akan terjadi jika budaya samseng yang membawa kepada pergaduhan menjadi satu trend dalam kancah bola sepak tempatan.

"Tidak dinafikan mereka yang ada keluarga dan anak-anak kecil pasti takut hendak ke stadium jika perkara ini berterusan, sepatutnya para penyokong bersikap lebih profesional.

"Menang dan kalah adat pertandingan, tidak perlu dicemari dengan insiden pergaduhan yang tidak membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak," katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_04/Bola-sepak-boleh-mati---Afandi#ixzz2sm0o3R00 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment