KEHADIRAN Bojan Hodak (baju
putih) menonton perlawanan Liga Perdana di antara JDT II menentang PBAPP di
Stadium Pasir Gudang, malam tadi menimbulkan tanda tanya.
KUALA LUMPUR - Desas-desus
mengenai bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak akan menyertai Johor Darul
Ta'zim (JDT) atau JDT II sebagai jurulatih tidak benar sama sekali apabila dia
menafikan perkara tersebut.
Menurut Hodak: "Ramai yang
bercakap tentang saya akan melatih pasukan itu dan ini, tetapi semuanya tidak
akan berlaku dan merupakan khabar angin yang sentiasa berputar-putar dalam
arena bola sepak.
"Tidak ada sebarang
tawaran dan keputusan mengenai perkara ini, saya hanya mahu pergi bercuti di
Thailand, tetapi tidak jadi kerana ada perkara tertentu yang perlu
diselesaikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ini bukan kali pertama Hodak
dikaitkan dengan pasukan tertentu selepas meninggalkan Kelantan musim lalu
selepas membimbing pasukan tersebut muncul juara Piala FA dan berjaya melangkah
ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum kecundang kepada Pahang 0-1 di
Stadium Shah Alam.
Sebaik meninggalkan Kelantan
dia dikaitkan akan melatih pasukan T-Team dengan mendapat tawaran yang lumayan.
Dia juga pernah dikaitkan menyertai pasukan yang baharu sahaja dinaikkan ke
saingan Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang.
"Buat masa sekarang saya
tidak melatih mana-mana pasukan, saya hanya menaik taraf lesen jurulatih saya,
sekarang seperti di zaman belajar dan perlu menghadapi peperiksaan akhir
tahun," katanya.
Jurulatih berusia 42 tahun itu mula
dikenali peminat bola sepak tempatan sejak melatih UPB-MyTeam dari 2006 hingga
2009, sebelum berhijrah ke Kemboja untuk melatih pasukan Phnom Penh Crown.
Dia juga pernah menjadi
pembantu jurulatih dengan kelab China, Shandong Luneng Taishan sebelum kembali
ke Malaysia untuk melatih The Red Warriors dari 2012 hingga tahun lepas dengan
cemerlang.
SUMBER:
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_06/Hodak-nafi-khabar-angin-sertai-Harimau-Selatan#ixzz2tLMqTtpV
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment