Saturday, 8 February 2014

'Irfan juga mesti angkat sumpah'


 

 Oleh ROSALINDA MD. SAID-sukan@utusan.com.my
 Irfan Abdul Ghani
KUALA TERENGGANU - Semua pemain T-Team, termasuk bekas pemain Johor Darul Ta'zim, Muhd. Irfan Abdul Ghani tidak akan terkecuali daripada mengangkat sumpah seperti yang diminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk mencari kebenaran berhubung insiden di Larkin.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, Muhd. Irfan akan diminta untuk turut berbuat demikian bersama semua pemain beragama Islam dalam pasukan itu yang sudah menyatakan kesediaan untuk melakukannya pada bila-bila masa sahaja.

"Buat masa ini, kami masih menunggu tarikh sesuai yang ditetapkan untuk mengangkat sumpah dan kami mahu Irfan turut melakukannya bersama pemain lain yang menjadi saksi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, Muhd. Irfan yang membuat kenyataan memihak kepada pasukan lawan berhubung insiden di dalam terowong ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos minggu lalu dipercayai masih berada di Johor dan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pendiriannya.

Sukan Utusan difahamkan Ahmad pula berada di Kenyir bagi menghadiri satu program dan akan pulang hari ini sebelum menghadiri satu lagi program di Putrajaya. Difahamkan beliau hanya mempunyai kelapangan sama ada pada hari Rabu atau Khamis ini.

Kelmarin, Ahmad meminta pegawai dan pemain T-Team mengangkat sumpah untuk membuktikan kebenaran berhubung insiden yang berlaku semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Kenyataan tegas Menteri Besar Terengganu itu berikutan tindakan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua.

Dalam perkembangan sama, Ab. Rasid berkata, nasib Muhd. Irfan akan ditentukan pihak pengurusan pasukan itu dalam masa terdekat kerana kegagalannya menghadiri latihan serta dakwaan pemain itu yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku ketika perlawanan itu.

"Yang pasti, dia tidak terlibat dalam perlawanan antara T-Team menentang ATM malam ini (malam tadi)," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_02/Irfan-juga-mesti-angkat-sumpah#ixzz2sllQLRyC © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment