TONGGAK JDT Pablo Aimar (kanan)
mungkin tidak dapat beraksi menentang Selangor di Johor Bahru malam ini kerana
masih dibelenggu kecederaan.
JOHOR BAHRU - Biarpun Johor
Darul Ta'zim (JDT) bakal beraksi tanpa beberapa pemain tonggak apabila bertemu
Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam ini,
Cesar Ferrando Jiminez yakin pasukannya masih mampu beraksi dengan baik,
seterusnya melakar kemenangan.
Ketua jurulatih JDT itu
berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi terkini pasukannya serta semangat
setiap anak buahnya yang disifatkan berada pada tahap terbaik, sekali gus tiga
mata penuh tidak sukar untuk diperoleh.
"Apa yang penting sekarang
mereka sudah bersedia untuk bertemu dengan Selangor yang bukan calang-calang
pasukan dan kita harap momentum kemenangan yang dilakar semasa bertemu Kedah
masih segar dalam diri mereka.
"Apabila kita menjadi
seorang jurulatih, kita sentiasa mahu menang dalam setiap perlawanan yang
diharungi, begitu juga dengan saya...saya berharap JDT akan terus melakar
kemenangan demi kemenangan," kata bekas pengurus kelab gergasi Sepanyol,
Atletico Madrid itu.
Pasukan Harimau Selatan
bagaimanapun harus berasa bimbang untuk menghadapi Selangor memandangkan
beberapa tonggak pasukan seperti pemain tengah, Pablo Aimar; pertahanan, Aidil
Zafuan Abdul Razak dan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha berkemungkinan tidak
dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan.
JDT yang dibarisi nama-nama
hebat termasuk bekas bintang Argentina, Aimar dan Luciano Gabriel Figueroa
memulakan musim ini dengan langkah agak tempang sehinggakan kini terperosok di
anak tangga kesepuluh dalam carta liga, setelah hanya mengumpul empat mata
daripada empat perlawanan apabila menang sekali dan seri sekali.
Harimau Selatan yang telah
menjaringkan enam gol dilihat tidak mempunyai masalah untuk membolosi gawang
lawan, namun bahagian pertahanan mereka agak rapuh setelah melepaskan enam gol
setakat ini.
Pasukan itu juga masih
diselubungi isu di luar padang melibatkan insiden pergaduhan di dalam terowong
sewaktu menentang T-Team dalam kempen Piala FA pada 1 Februari lalu, dan
penyokong bergaduh di luar stadium selepas mereka kalah kepada Pahang di
Kuantan, tujuh hari kemudian.
Lawan mereka malam ini, The
Reds Giants pula ketika ini gah menerajui liga, lima mata di depan JDT dan dua
mata mengatasi pencabar terdekat, ATM.
Sementara itu, pemain
pertahanan JDT, Baihakki Khaizan menyifatkan pertemuan skuad Harimau Selatan
dan Selangor hari ini penting dan berharap dia serta rakan-rakan sepasukannya
mampu memberikan yang terbaik untuk mengutip mata penuh dan merapatkan jurang
dengan pasukan-pasukan di anak tangga atas.
Sambil mengakui JDT tidak
berada pada kedudukan yang baik dalam carta liga buat masa ini, bekas pemain
Lions XII itu yakin kemenangan dilakar ketika menentang Kedah dalam kempen
Piala FA mampu menjadi pembakar semangat.
"Bertemu Selangor
merupakan perlawanan penting, kita baru habis dengan saingan Piala FA, esok
(hari ini) pula dengan Liga Super dan kita pula tidak berada pada posisi
memuaskan...kita sendiri tahu.
"Jadi, kita mahu
memberikan yang terbaik dan guna semua semangat yang kita perolehi semasa
menang ke atas Kedah semasa bertemu Selangor bagi memastikan kita dapat bawa
balik tiga mata di tempat kita sendiri.
"Saya harap kita semua
(pemain JDT) bermain dengan sepenuh hati dan jiwa....in sya Allah dengan kerja
keras kemenangan bakal berpihak kepada pasukan," katanya.
Satu lagi pertemuan menarik
bakal disaksikan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila pasukan di
anak tangga ketiga, Terengganu melayan kunjungan jiran mereka, Pahang manakala
ATM menentang Lions XII di Selayang.
Terengganu ketika ini
menunjukkan prestasi agak baik untuk mengumpul tujuh mata selepas menang dua
kali, seri sekali dan kalah sekali manakala Pahang hanya berada satu mata di
belakang.
Pasukan di anak tangga kedua,
ATM turut mengumpul tujuh mata dan hanya jumlah jaringan membezakan mereka
dengan Terengganu. Berdasarkan prestasi semasa, pasukan itu tidak seharusnya
bermasalah untuk menundukkan Lions XII yang kini berada di anak tangga ke-11.
SUMBER
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_02/JDT-yakin-benam-Selangor#ixzz2tLO7iqlC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment