MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
10 Februari 2014
TRW Aksi pemain pertahanan TRW, Obinna Nwaneri (kiri) pada perlawanan
menentang Perak di Ipoh, malam kelmarin.
EKORAN prestasi hambar sepanjang tiga perlawanan Liga Super lalu, termasuk
terbaharu tewas tipis 1-2 kepada Perak malam kelmarin, satu bedah siasat akan
dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terhadap pasukan mereka.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim mengesahkan bedah siasat tersebut akan
dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca kelemahan pasukannya dan ia adalah
salah satu proses biasa bagi memulihkan prestasi gergasi pantai timur itu.
Tindakan yang dilakukan pihak Kafa amat tepat, ketika Kelantan dilihat
berdepan satu lagi tekanan untuk mengembalikan keyakinan penyokong mereka
kerana bakal bertemu satu lagi pasukan yang kuat itu PKNS FC pada aksi suku
akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
“Kekalahan kepada Perak merupakan satu keputusan yang amat mengecewakan
buat Kelantan. Saya tidak menolak besar kemungkinan kita akan membuat perubahan
bagi memastikan Kelantan kembali menunjukkan prestasi sebenar.
“Saya akui ada beberapa pemain yang diturunkan malam tadi (kelmarin)
beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar. Jelas, perkara ini dalam perhatian
pihak pengurusan pasukan untuk mengatasinya,” katanya kepada Sinar Harian,
semalam.
Pada perlawanan tersebut, The Bos Gaurus yang menampilkan barisan pemain
muda memalukan skuad kendalian Steve Darby menerusi jaringan Ahmad Shukri Abd
Hamid pada minit ke-12 dan Khairul Asyraf Shahizah (m-78) manakala gol sagu
hati Kelantan hasil sentuhan Mohamed Shawky Aly (m-55).
Kekalahan kedua itu, selepas pertama kali kecundang 1-2 di tangan PKNS FC
pada 28 Januari menyaksikan penyokong setia The Red Warriors (TRW) mula hilang
keyakinan terhadap keupayaan jurulatih kelahiran England itu untuk terus
membimbing Kelantan.
Azman yang merupakan Pengurus Kelantan turut memberitahu, biarpun bakal
melakukan bedah siasat, namun beliau menegaskan pasukannya masih belum mahu
menekan ‘butang panik’ disebalik persembahan kurang memuaskan barisan
pemainnya.
“Tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana perjalanan liga baharu
sahaja memasuki perlawanan keempat dan adalah tidak adil untuk meletakkan semua
kesalahan di atas bahu pengendali pasukan.
“Apa yang boleh saya beritahu, kita akan terus berusaha memperbaiki
kelemahan yang menghantui pasukan ini dari semasa ke semasa. Mengenai percaturan
taktikal, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana itu adalah urusan ketua
jurulatih,” katanya.
SINAR HARIAN ONLINE 10.2.14
No comments:
Post a Comment