KUALA LUMPUR - Terpaksa ditelan
walaupun pahit, itulah yang dirasakan oleh penolong jurulatih T-Team, Azlan
Johar apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) semalam mengumumkan Johor Darul Ta'zim diberikan kemenangan 3-0
dalam perlawanan Piala FA antara kedua-dua pasukan yang tertunda pada Sabtu
lalu.
Katanya, dia bukan mahu
mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh JKPT FAM namun berasa terkeliru
kerana menurutnya komisioner perlawanan, Zainal Mukri sendiri memberitahunya
bahawa tiada jaminan skuad T-Team tidak akan diganggu jika meneruskan
perlawanan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kempen Piala FA Sabtu lalu.
"Saya dan pengurusan
T-Team menerima keputusan yang diberikan oleh JKPT FAM walaupun ini satu
keputusan yang sedikit mendukacitakan buat pihak kami.
"Pada mulanya saya jangka
pasukan saya dapat juga beraksi selama 45 minit serta bermain di tempat
berkecuali, kami tidak kisah jika itu terjadi namun FAM mempunyai kuasa
pemutus.
"Mungkin ramai yang tidak
tahu, saya ada tanya komisioner perlawanan, selepas Evaldo ditumbuk, adakah dia
mampu memberikan perlindungan kepada kami agar tidak diserang lagi tetapi dia
kata tidak berani beri jaminan.
"Begitu juga dengan
pengawal-pengawal keselamatan lain, mereka juga bercakap benda yang sama, jadi
atas sebab itu saya dan semua pemain membuat keputusan untuk tidak meneruskan
permainan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Walaupun begitu, Azlan berharap
perkara yang sama tidak akan berulang kerana boleh menjejaskan kemeriahan bola
sepak tempatan.
"Cukuplah sekali, kita
mahu perkara-perkara kontroversi seperti ini tidak berulang lagi dan pasukan
T-Team akan cuba bangkit daripada insiden ini," katanya.
JKPT FAM semalam membuat
keputusan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT atas alasan T-Team telah
melanggar peraturan kerana tidak mahu meneruskan babak kedua perlawanan
pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu walaupun keadaan
adalah selamat.
T-Team mendakwa mereka enggan
meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140207/su_03/Pahit-untuk-kami-telan---Azlan-Johar#ixzz2scn0fPcp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment