Saturday, 15 February 2014

Sasar tangga pertengahan Liga Queensland

Oleh Aziman Rosdi

Bukit Jalil: Jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak meletakkan sasaran tinggi pada penyertaan pertama skuad Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia bermula Mac depan apabila hanya mengharapkan pasukan yang baru dibentuk itu dapat menamatkan saingan sekurang-kurangnya di pertengahan liga.

Katanya, penyertaan skuad bawah 23 tahun itu lebih kepada program pendedahan bagi persediaan ke Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, September ini namun itu tidak bermakna beliau tidak memberi penekanan kepada soal kemenangan dalam 26 perlawanan yang bakal diharungi.

“Penyertaan Harimau Muda ke Liga NPL adalah untuk pendedahan tapi saya tetap mahukan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan. Saya berharap pasukan ini boleh menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di pertengahan liga dan jika mereka boleh menduduki kelompok lima pasukan terbaik, itu satu bonus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pasukannya mengalahkan pasukan Liga FAM Kuala Lumpur 2-0 pada aksi persahabatan semalam.

Selepas kehilangan beberapa pemain kerana faktor umur dan penghijrahan ke pasukan lain seperti kapten Mohd Irfan Fazail, Mohd Fadhli Shas, Izham Tarmizi Roslan dan A Thamil Arasu, Kim Swee terpaksa mengumpul pemain baru dengan mengadakan sesi pemilihan pemain.
Foto
PEMAIN Harimau Muda A, Mohd Ferris Danial Mat Nasir (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan persahabatan di Padang MSN, Bukit Jalil.


Sebelas pemain baru kini dalam penilaian pengendali berusia 43 tahun itu kerana beliau hanya akan membawa 25 daripada 28 pemain dalam skuad ke Australia pada 28 Mac ini.


Harimau Muda A akan turun pada perlawanan pertama Liga NPL pada 8 Mac ini dan akan bersaing dengan 13 pasukan lain sehingga tamat musim pada Ogos depan.

Kim Swee mengakui masih banyak kelemahan dalam pasukannya selepas melihat aksi anak buahnya menundukkan Kuala Lumpur semalam.

“Pada separuh masa pertama saya menurunkan pasukan kedua Harimau Muda A tahun lalu dan apabila saya keluarkan mereka pada separuh masa kedua, pasukan ini gagal mengekalkan rentak permainan. Namun ada peningkatan dari segi persefahaman pemain berbanding ketika menentang Melaka (minggu lalu) tapi saya masih belum berpuas hati,” katanya.

SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14

No comments:

Post a Comment