Tanpa disangka Selangor yang tampil dengan persiapan sederhana termasuk
dalam aspek pembelian pemain muncul pendahulu Liga Super selepas mengharungi
empat perlawanan setakat ini.
Anak buah Mehmet Durakovic mencatatkan tiga kemenangan dan satu kekalahan
untuk mengatasi saingan 11 pasukan lain dan Sime Darby FC menjadi mangsa
terbaru Merah Kuning di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin
menerusi dua jaringan Paulo Rangel untuk mencatatkan kemenangan 2-1.
“Walaupun kami berada pada kedudukan teratas liga, perasaan terlalu yakin
tidak boleh wujud terutamanya ketika pungutan mata setiap pasukan adalah dekat
dan saingan masih awal.
“Namun secara moralnya ia juga memberikan semangat kepada kami untuk
meneruskan rentak kemenangan,” kata pemain tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu mengekori rapat Selangor
apabila masing-masing mengumpul tujuh mata selepas kedua-dua pasukan itu
mencatatkan keputusan seri malam kelmarin.
Shukor turut tidak melihat pasukan itu terlalu bergantung kepada jaringan
Rangel untuk meraih kemenangan walaupun penyerang Brazil itu sudah meledak enam
daripada lapan gol yang dihasilkan Selangor selepas mengharungi empat
perlawanan Liga Super dan dua aksi Piala FA.
Dua lagi jaringan hadir menerusi Fitri Shazawan Raduwan (menentang
LionsXII) dan Junior Aparecido (menentang Harimau Muda C).
“Saya harap pandangan peminat tidak begitu. Jaringan yang dilakukan Rangel
adalah hasil kerjasama rakan yang lain. Seperti permainan semalam (kelmarin),
pemain lain juga mendapat peluang untuk meledak jaringan namun tidak bernasib
baik. Mungkin pemain lain juga turut mampu meledak jaringan selepas ini,”
katanya.
Selangor yang tidak terbabit dengan saingan suku akhir Piala FA selepas
tewas pada pusingan kedua akan memanfaatkan tempoh rehat kira-kira seminggu
untuk mempersiapkan pasukan bagi menentang Harimau Selatan, Johor Darul Ta'zim
(Johor DT), Sabtu ini.
SUMBER:Artikel ini disiarkan my METRO ONLINEpada : 2014/02/10
No comments:
Post a Comment