Thursday, 13 February 2014

Siapa kapten Harimau Malaya?

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PIYA antara nama yang disebut-sebut sebagai pilihan Kim Swee mengetuai skuad Harimau Malaya.

TEKA-TEKI berhubung siapa kapten baharu skuad Harimau Malaya bakal terjawab dalam masa terdekat.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau enggan terburu-buru mengenal pasti pemain yang bakal memikul tanggungjawab sebagai kapten skuad kebangsaan.

"Ada dua tiga pemain dalam radar saya buat masa ini, tetapi saya belum membuat keputusan muktamad.

"Buat masa ini, saya masih meneliti perkara itu bergantung sekiranya pemain berkenaan tercedera dan sebagainya sebelum dipanggil menjalani latihan pusat selepas ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Kepimpinan Sukan di Insitut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Buat masa ini, kapten Kelantan, Badhri Radzi yang mesra dengan panggilan Piya disebut-sebut akan memiliki lilitan kapten itu menjelang pertemuan berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai pada 5 Mac depan.

Tanggungjawab selaku kapten skuad kebangsaan sebelum ini disandang oleh perancang Johor Darul Takzim, Safiq Rahim.

Bagaimanapun jelas Kim Swee, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi semasa Safiq bersama skuad Harimau Selatan itu.

"Saya lihat, Safiq beraksi dengan baik serta kerap diturunkan musim ini," katanya.

Kim Swee juga menafikan telah membuat keputusan muktamad berhubung senarai akhir 25 pelatih skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina pada 1 Mac depan seperti mana yang digembar-gemburkan di laman sosial ketika ini.

"Ia hanya satu khabar angin, senarai pelatih hanya akan dikeluarkan Khamis ini (esok).

"Saya memahami ada pihak-pihak tertentu mahu pemain-pemain berkenaan beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Namun, saya tidak dipengaruhi dengan desakan mana-mana pihak... sebaliknya saya akan nilai dengan mata saya sendiri sambil mendengar pandangan pembantu-pembantu jurulatih sebelum membuat keputusan," katanya.

Beliau turut menolak kemungkinan bakal merombak skuad Harimau Malaya secara besar-besaran ekoran majoriti pemain utama sekadar memanaskan bangku simpanan bersama pasukan masing-masing musim ini.

"Faktor pengalaman juga diambil kira walaupun secara dasarnya pemain yang tidak beraksi dalam kesebelasan utamanya sudah tentu terkeluar daripada senarai pelatih.

"Namun bergantung kepada posisi tertentu, jadi saya perlu menilai setiap posisi dan masih ada beberapa kekosongan.. tidak mustahil ada beberapa pemain baharu yang akan dipanggil kali ini," katanya.

KOSMO ONLINE 12.2.14

No comments:

Post a Comment