Ad

Saturday, 8 February 2014

Tok Gajah pijak harimau Selatan

Oleh LUQMAN HAKIM AB RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
 
POLIS terpaksa mententeramkan penyokong Johor DT yang tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 2-3 kepada Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

PAHANG tampil dalam kelas tersendiri apabila menghampakan Johor Darul Takzim (Johor DT) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur Kuantan malam tadi.

Jaringan oleh penyerang Pahang, Matias Conti, Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Hafiz Kamal membolehkan skuad kendalian Ronald Smith itu memperoleh tiga mata berharga pada perlawanan yang hampir berkesudahan seri.

Pasukan pelawat dilihat lebih bertenaga pada awal permainan untuk mencari gol awal, tetapi usaha mereka mudah dipatahkan pertahanan Tok Gajah yang diketuai Mohd. Nizam Miswan.

Pahang yang mengamalkan corak permainan pantas pada perlawanan tersebut, turut memiliki peluang untuk membolosi gawang lawan namun percubaan Damion Stewart menerusi tandukan pada minit ke-10 terus ke dakapan penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Dua minit selepas itu, Conti sekali lagi menjadi tumpuan. Selepas berlaku keadaan kucar-kacir di luar kotak penalti, Conti berjaya mencuri bola sebelum melakukan gerakan solo dengan menggelecek beberapa pertahanan Johor DT dan mudah menewaskan Norazlan bagi membolehkan Pahang mendahului 1-0.

Pada penghujung permainan separuh masa pertama, kealpaan barisan pertahanan Pahang dihukum oleh penyerang Johor DT, Pablo Aimar yang berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tendangan deras daripada luar kotak penalti pada minit ke-45.

Dua minit perlawanan separuh masa kedua bermula, Fauzi berjaya mencatat nama sebagi penjaring apabila meledak gol kedua Pahang sebelum penyerang gantian Johor DT, Mohd. Safee Sali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-72.

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Mohd. Hafiz berjaya menghadiahkan tiga mata berharga kepada Pahang apabila menjaring gol kemenangan selepas menanduk bola hasil sepakan percuma oleh Azidan Sarudin pada minit-minit terakhir perlawanan.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Ekoran kekalahan Johor DT, para penyokongnya tidak puas hati dan hampir melakukan kekecohan di luar stadium, namun keadaan dapat ditenteramkan oleh pihak polis.

Dalam satu lagi aksi Liga Super semalam, Sarawak menewaskan Selangor PKNS 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Gol Sarawak dijaringkan oleh Milorad Janjus pada minit kesembilan dan Gabor Gyepes pada minit ke-16.

KOSMO ONLINE 8.2.14

No comments:

Post a Comment