Anggota polis berusaha mengawal dan menenangkan segelintir penyokong ketika
berlaku kekecohan selepas perlawanan Liga Super antara Pahang dengan JDT di
Kuantan malam semalam.
KUANTAN - Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah dimaklumkan bahawa
penyokong skuad Johor Darul Ta'zim tidak akan hadir menyaksikan perlawanan Liga
Super antara Pahang dan pasukan itu di Stadium Darul Makmur malam semalam.
Setiausaha Agungnya, Fuzzeimi Ibrahim berkata, pada Rabu lalu, beliau
menghubungi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan dimaklumkan penyokong
skuad itu tidak akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.
Menurutnya, beliau juga dimaklumkan mengenai ketidakhadiran penyokong
pasukan itu oleh pegawai JDT dalam mesyuarat bersama antara Pahang dan pegawai
skuad berkenaan pada sebelah pagi hari perlawanan.
"Jadi kami telah dimaklumkan, melalui PBNJ, bahawa penyokong mereka
tidak akan hadir menyaksikan perlawanan malam tadi (semalam), tetapi kira-kira
pukul 6.30 petang pihak polis memaklumkan kepada saya bahawa ada penyokong JDT
yang hadir.
"Saya pada waktu itu menghubungi pihak PBNJ untuk mendapatkan
pengesahan mengenai kehadiran penyokong mereka tetapi tiada sesiapa menjawab
panggilan saya.
"Tetapi kami tetap menyambut kehadiran mereka dengan menyediakan
tempat letak kenderaan dan kawalan keselamatan memasuki stadium," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Fuzzeimi berkata, makluman awal mengenai kehadiran penyokong daripada
sesebuah pasukan adalah penting bukan sahaja untuk penyediaan tempat duduk
malah aspek keselamatan setiap penyokong yang hadir.
"Kami sendiri (PNBP) akan berbuat demikian setiap kali bertandang ke
tempat lawan. Kami akan maklumkan berapa ramai penyokong dan diketuai oleh
siapa, perkara ini sangat penting," katanya.
Mengulas mengenai insiden yang berlaku antara penyokong Pahang dan JDT
selepas perlawanan yang dimenangi skuad Tok Gajah dengan jaringan 3-2 itu
tamat, beliau berkata, hanya mengetahui perkara itu melalui akhbar semalam.
Katanya, PBNP enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan akan
menunggu laporan polis terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.
Bagaimanapun katanya, beliau yakin penyokong Pahang tidak akan bertindak
sewenang-wenangnya untuk mencetuskan provokasi yang boleh mengundangkan kepada
situasi kelam-kabut kerana mereka hanya hadir untuk menyaksikan perlawanan bola
sepak dan pulang dengan selamat.
"Ini bukan kali pertama PBNP berdepan dengan perlawanan bola sepak,
kita sudah berjumpa dengan wakil kelab penyokong dan meminta mereka supaya
berkelakuan baik dan terus menyokong pasukan tanpa perlu berbuat provokasi
kepada pasukan serta penyokong pelawat.
"Saya juga percaya perkara yang sama turut dibuat oleh PBNJ tetapi
pergaduhan masih juga berlaku sehingga mengundang kesusahan kepada orang lain.
"Saya tak mahu tuduh tapi tak mustahil ada pihak lain yang tak suka
perlawanan bola sepak berlangsung dengan aman dan berakhir tanpa insiden buruk
berlaku," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_06/Tunggu-laporan-polis-berhubung-insiden-pergaduhan---Fuzzeimi#ixzz2slwGJlru
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment