Saturday, 15 March 2014

Aksi Terengganu, JDT paling curi tumpuan

 
Pasukan JDT menjalani latihan di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, semalam menjelang pertemuan Liga Super menentang Terengganu, malam ini.
KUALA TERENGGANU - Berkongsi 10 mata dan hanya dua mata dipisahkan daripada pendahulu Liga Super, Kelantan, menjadikan pertembungan di antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini mengundang debaran peminat bola sepak tempatan.

Dengan memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, Terengganu yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim pasti akan turun berjuang bermati-matian beraksi di laman sendiri.

Bagaimanapun di sebalik semua ini, insiden `Terowong Larkin’, Johor Bahru yang melibatkan pasukan ‘adik’, T-Team ketika menentang JDT, Februari lalu yang masih belum selesai dikatakan menjadi tarikan utama yang bakal menyemarakkan kehangatan perlawanan.

Masakan tidak, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga telah berjanji akan mempertingkatkan faktor keselamatan di dalam dan luar stadium dengan kerjasama polis, Unit Simpan Persekutuan (FRU), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

Bagi pengendali JDT, Bojan Hodak, beliau optimis kemenangan mampu dibawa pulang selepas mempamer aksi cemerlang dengan mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut termasuk, menewaskan Sime Darby 2-0.

Menjelang pertemuan itu, Bojan menuntut anak-anak buahnya berhati-hati dengan kelibat beberapa pemain bintang skuad Penyu seperti Ismail Faruqi Asha’ri, Nor Farhan Muhammad dan Ashaari Shamsuddin yang bijak menghasilkan gerakan dan mencipta peluang gol.

“Terengganu merupakan satu pasukan yang bagus terutamanya apabila beraksi di laman sendiri. Pemain yang rata-rata anak jati Terengganu bermain dengan penuh semangat untuk negeri mereka.

“Barisan pertahanan mereka juga beraksi cemerlang dengan hanya membenarkan dua kali gawang gol dibolosi. Saya menjangkakan ini merupakan satu perlawanan yang sukar buat kami," katanya semalam.

Walaupun kehilangan beberapa pemain penting akibat kecederaan seperti Pablo Aimar, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safee Sali namun ia tidak merencatkan prestasi skuad Harimau Selatan yang kini sudah menemui rentak kemenangan.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kehilangan mereka tidak dirasai apabila pemain gantian seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Fadhli Mohd. Shas menunjukkan kesungguhan dengan beraksi cemerlang bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam perlawanan lalu.

“Pemain begitu dahagakan kemenangan dan ingin membuktikan diri mereka layak berada dalam kesebelasan utama. Ini membuatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh dan beraksi dengan cemerlang.

“Saya berharap kemenangan pertama di tempat lawan pada minggu lalu meniup semangat dalam kalangan pemain dan mampu meraih tiga mata penting di Terengganu Esok," katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140315/su_05/Aksi-Terengganu-JDT-paling-curi-tumpuan#ixzz2w2KoMF00 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment