PENYOKONG Pahang bertakafur di
Stadium Darul Makmur sebelum aksi Liga Super di antara Pahang bertemu ATM,
malam tadi bagi menghormati mangsa pesawat MH370 yang hilang ketika perjalanan
ke Beijing.
KUALA LUMPUR - Kelantan meraih
keceriaan berganda semalam apabila bukan saja mengejutkan penyandang juara,
LionsXII 2-1 di Stadium Jalan Besar, malah merampas takhta Liga Super daripada
Terengganu biarpun menamatkan permainan 10 pemain.
The Red Warriors kini mengumpul
12 mata daripada lima perlawanan, meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang
kini menghuni anak tangga kedua dengan 10 mata selepas menumpaskan Sime Darby
2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Dalam perlawanan di Jalan
Besar, LionsXII membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Khairul Amri Kamal
untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Bagaimanapun penyerang
kebangsaan, Mohd. Fakri Saarani mengetuai kebangkitan The Red Warriors pada
separuh masa kedua apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-52.
Nasib Kelantan agak malang
apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Shakir Ali dibuang padang
pada minit ke-79, namun kekurangan itu tidak menjejaskan rentak mereka.
Sebaliknya penyerang import,
Francis Forkey Doe memastikan pelawat membawa pulang tiga mata berharga dengan
menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Sementara itu, JDT melonjak ke
tangga kedua liga selepas meraih gol menerusi pemain import, Luciano Figueroa
pada minit ke-23, sebelum Norshahrul Idlan Talaha menggandakan kedudukan 2-0,
lapan minit kemudian.
Dalam perlawanan di Stadium
Darul Makmur, Pahang berpesta gol dengan menumpaskan ATM 4-1.
Penyerang Argentina, Matias
Conti membuka jaringan pada minit ke-14, sebelum Dickson Nwakaeme menggandakan
kedudukan empat minit berikutnya.
Faizol Hussain memastikan
Pahang selesa di hadapan menerusi jaringan minit ke-35 dan Nwakaeme menyumbat
gol keduanya pada minit ke-52. Gol saguhati ATM diperoleh pada minit ke-68
menerusi Juan Manuel Arostegui.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, T-Team meraih kemenangan kedua musim ini selepas menewaskan
Sarawak 2-0.
Gol tuan rumah disumbangkan
Mohd. Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-47 dan Badrul Hisyam Morris.
Aksi Perak dan PKNS yang
berlangsung di Stadium Perak pula berkesudahan seri 1-1.
Tuan rumah membuka tirai
jaringan seawal minit keenam permainan menerusi Eliel da Cruz, sebelum Carlo
Primorac menyamakan kedudukan pada minit ke- 40 dan keputusan kekal sehingga
tamat permainan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140309/su_03/Red-Warriors-rampas-takhta#ixzz2vPfQrzFI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment