NURUL MAZWANA HAMDAN
17 Mei 2014
Keluarga ketakutan diganggu api
misteri Kesan tapak tangan ditemui pada cermin di rumah Nor Hafizah yang
keesokan hari didapati hilang.
SELAMA - Sebuah keluarga di
Kampung Sungai Kuning, Rantau Panjang, di sini, mendakwa hidup ketakutan kerana
sering mengalami kejadian pelik selepas kematian ketua keluarga itu Mac lalu
dan gangguan tersebut dikatakan semakin menjadi-jadi sejak dua minggu lalu.
Nor Hafizah Ahmad, 29, berkata,
kebelakangan ini kehidupan mereka kerap terganggu dengan kehadiran api misteri
yang tiba-tiba muncul dalam rumah mereka.
Anak kelima daripada sembilan
beradik itu berkata, pada mulanya ahli keluarganya termasuk ibunya sering
kehilangan wang.
“Pada mulanya saya fikir, wang
hilang berpunca daripada kecuaian saya sendiri, namun lama-kelamaan kerap pula
duit hilang hinggakan kami sekeluarga berasa pelik," katanya ketika
ditemui semalam.
Nor Hafizah berkata, untuk
mengelak insiden sama berulang, ibunya berikhtiar dengan menaburkan lada hitam
dan garam di sekeliling rumah mereka.
Katanya, selepas mencuba petua
tersebut, kejadian pelik tidak lagi berlaku, namun ia hanya seketika apabila
mereka kehilangan duit lagi pada hujung April lalu.
“Ibu cuba 'pagar rumah' semula
guna kaedah sama tetapi kali ini ia tidak berhasil dan ‘makhluk’ yang
mengganggu kami mula mengamuk,” katanya.
Barang mula terbakar
Nor Hafizah berkata, selepas
percubaan terakhir ibunya itu, barang-barang dalam rumahnya termasuk buku,
pakaian dan barang plastik terbakar secara tiba-tiba.
Katanya, insiden misteri itu
sering terjadi pada waktu siang dan berlaku empat hingga lima kali sehari.
“Paling banyak adalah 11 kali
dan sejak itu, rumah ini tidak boleh ditinggalkan kerana kami bimbang kebakaran
lebih besar akan berlaku.
“Setakat ini kebakaran masih
boleh dikawal tetapi kami sentiasa berjaga-jaga kerana khuatir sesuatu yang
lebih buruk berlaku,” katanya.
Wanita itu berkata, dia kini
tinggal bersama ibu, dua adik dan seorang anak saudara di rumah tersebut.
Katanya, alatan persekolahan
anak saudaranya musnah terbakar dan mereka terpaksa membeli kelengkapan baharu
untuk kanak-kanak itu.
“Selain kebakaran tercetus
secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya, beberapa barangan di dalam rumah ini
juga pernah disepahkan,” katanya.
Nor Hafizah berkata, sejak
diganggu api misteri itu, dia dan ahli keluarganya berusaha mendapatkan bantuan
daripada pakar perubatan Islam untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Walaupun kejadian itu kini
berkurangan, namun ia masih berlaku. Kejadian terbaharu adalah semalam
(kelmarin). tiga kebakaran berlaku dan sejak kejadian ini kami sekeluarga
sentiasa berasa cemas dan fobia apabila terhidu bau hangit,” katanya.
Sinar HARIAN ONLINE 17.5.14
No comments:
Post a Comment