Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my
INSIDEN maut yang membabitkan
pelumba Itali, Simoncelli (terjatuh) ketika perlumbaan MotoGP GP Malaysia pada
tahun 2011.
TIDAK sampai 48 jam, kemalangan
maut sekali lagi berlaku pada perlumbaan Super Siri Malaysia (MSS) 2014 yang
berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Penunggang kategori Superbike
bernombor 71, Milton Poh menjadi mangsa keempat yang terbunuh di litar itu
selepas jentera yang ditunggangnya bergesel dengan penunggang dari Itali,
Leornado Sacchetto ketika sedang keluar dari pit perlumbaan.
Pergeselan tersebut menyebabkan
pelumba dari Singapura itu gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kanan
litar dan merempuh tembok.
Milton dikejarkan ke Hospital
Putrajaya selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan tidak sedarkan diri
manakala Sacchetto bagaimanapun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan
dan masih menerima rawatan.
Menurut kenyataan yang
dikeluarkan oleh SIC, aksi perlumbaan hari kedua terpaksa dipendekkan berikutan
kemalangan yang berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Ia adalah minggu yang cukup
malang buat kami (SIC), pelumba dan mangsa. Kami amat bersimpati kepada
keluarga dan rakan mangsa dengan apa yang telah berlaku,” ujar kenyataan yang
dikeluarkan oleh SIC semalam.
Pada Jumaat lalu, Amaludin Abd.
Rahman maut dalam kemalangan semasa sesi latihan pusingan pertama kejuaraan
motosikal tersebut.
Pelumba novis berusia 42 tahun
itu dipercayai gagal mengawal jenteranya di selekoh 15 litar tersebut sebelum
terbabas dan melanggar penghadang tayar pada pukul 4.30 petang.
Mangsa beraksi dalam kategori
Super Stock B pada kejuaraan tahunan itu.
Amaludin menjadi mangsa
kemalangan maut ketiga di litar tersebut yang kali terakhir berlaku pada 2011.
Pada kejuaraan sama tahun lalu,
pelumba muda Muhammad Izzat Mohd. Abdul Hakim, 17, meninggal dunia di Hospital
Kuala Lumpur (HKL), lima hari selepas jenteranya terbabas dan melanggar marsyal
perlumbaan pada sesi latihan.
Pelumba MotoGP Marco Simoncelli
dari Itali turut menemui ajal di litar tersebut pada 23 Oktober 2011 apabila
jentera yang ditunggangnya terbabas pada ketika bersaing pada MotoGP Grand Prix
Malaysia.
Pelumba yang ketika itu berusia
24 tahun, bergesel dengan penunggang Amerika Syarikat, Colin Edwards dan rakan
sepasukan, Valentino Rossi di selekoh kedua.
Pada selekoh kedua, pelumba
Honda itu yang berada di kedudukan keempat pada waktu kejadian, hilang kawalan
di Turn 11 dan bergesel dengan kedua-dua penunggang tersebut sebelum terjatuh.
Bedah siasat mendapati
Simoncelli mengalami kecederaan parah di kepala, leher dan dada akibat
dilanggar daripada pergeselan tersebut.
Insiden tersebut merupakan
kemalangan maut pertama yang berlaku di Litar Sepang sejak mula beroperasi pada
1999.
KOSMO ONLINE 19.5.14
No comments:
Post a Comment