Oleh Norzie Mohd. Khasbi
Lee Chong Wei memberikan mata
pertama skuad negara setelah menumpaskan K. Srikanth 21-19, 21-12 semalam.
NEW DELHI - Pasukan negara melepasi
ujian sulung dan dianggap sebelah kaki melangkah ke suku akhir Piala Thomas
selepas membenam cabaran India 4-1 dalam aksi pembukaan di Stadium Tertutup
Siri Fort, semalam.
Kemenangan tersebut meredakan
sedikit tekanan Malaysia kerana mereka sedar, sebarang kekalahan hanya akan
menyempitkan peluang untuk muncul dua pasukan terbaik dalam Kumpulan C.
Namun bagi perseorangan kedua
negara yang menghadiahkan mata kemenangan, Chong Wei Feng kejayaan menumpaskan
India belum mengurangkan keresahannya kerana lawan yang bakal ditemui hari ini,
Jerman mampu melakar kejutan setelah mereka hanya tewas tipis 2-3 kepada Korea
Selatan semalam.
Malah, kekalahan mengejut Liew
Daren kepada R.M.V Gurusaidutt serta aksi kurang meyakinkan daripada beregu
eskperimen, Goh V Shem-Tan Wee Kiong belum menjamin laluan mudah bakal diterima
pasukan negara.
Menurut Wei Feng, kekalahan
mudah 12-21, 13-21 kepada perseorangan kedua Jerman, Dieter Domke dalam
satu-satunya pertemuan mereka di Terbuka Bitburger 2012 meletakkan dia dalam keadaan
berwaspada apabila menentang pemain tinggi lampai itu sekali lagi.
Malah, Jerman juga dilihat
berkeyakinan tinggi selepas perseorangan utama mereka, Marc Zwibler mengejutkan
perseorangan utama Korea Selatan, Son Wan Ho 21-18, 21-17 dan Domke menumpaskan
Lee Dong Keun 21-17, 21-16.
Michael Fuchs-Johannes
Schoettler juga nyaris mengejutkan beregu utama Korea, Yoo Yeon Seong-Lee Yong
Dae sebelum kalah tipis 11-21, 21-8, 19-21.
"Kami kena menang hari ini
untuk mengurangkan tekanan, namun kemenangan belum meletakkan kita sebelah
kaki memasuki suku akhir.
"Saya akui, Malaysia punya
kelebihan apabila bertemu Jerman tetapi secara peribadi, saya sedikit resah
kerana pemain yang akan saya tentang pernah mengalahkan saya dalam satu-satunya
pertemuan kami dua tahun lalu.
"Dia pemain yang tinggi
lampai, sangat bagus dan mampu menghadirkan kejutan. Apa pun, saya janji akan
memberikan yang terbaik untuk mencari kemenangan dan saya benar-benar
bersedia," kata Wei Feng.
Dalam perlawanan semalam, jaguh
No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei membolehkan Malaysia memulakan kempen dengan
langkah kanan apabila hanya memerlukan 35 minit untuk menumpaskan K. Srikanth
21-19, 21-12, sebelum gandingan senior, Tan Boon Heong-Hoon Thien How mengutip
mata kedua dengan menundukkan B. Sumeeth Reddy-Manu Atri 21-14, 21-11.
Wei Feng melebarkan rekod
pertemuan ke atas Kashyap Parupalli kepada 4-0 dengan menang 21-13, 21-6,
sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia.
Biarpun kemenangan sudah sah
milik Malaysia, namun V Shem-Wee Kiong gagal menunjukkan ketenangan ketika
berdepan Akshay Dewalkar-Pranaav Jerry Chopra apabila berhempas pulas sebelum
mencatat kemenangan 21-17, 14-21, 21-14. Daren pula diheret dalam pertarungan
64 minit ketika tewas 21-18, 13-21, 19-21 di tangan Gurusaidutt.
Sementara itu keresahan Wei
Feng menjelang pertemuan dengan Jerman ada asasnya kerana pasukan dari Eropah
itu nyata berada dalam keyakinan yang tinggi, terutama pemain-pemain
perseorangan mereka biarpun gagal mencatat kemenangan.
"Semangat kami berada di
tahap tertinggi ketika ini dan perseorangan kami dipersiapkan dengan bagus
sejak enam bulan lalu untuk menghadapi kejohanan. Kami menikmati perlawanan dan
bersedia melakukan kejutan dalam dua perlawanan seterusnya.
"Saya kalahkan Wei Feng
dua tahun lalu, tetapi dia nampak bagus kali ini. Dia menewaskan Kashyap dengan
cukup meyakinkan tetapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengannya esok.
"Apa yang boleh saya
katakan, semangat Jerman berada di tahap tertinggi ketika ini. Kami memiliki
pasukan yang bagus, sentiasa bersemangat dan itu yang menyebabkan Jerman mampu
mencatat keputusan baik," kata Domke.
Bagi Daren, dia enggan terlalu
terbawa-bawa dengan kekalahan kepada Gurusaidutt, malah berjanji akan bangkit
dengan aksi lebih baik sekiranya diturunkan untuk bertemu Jerman hari ini.
"Saya sedar permainan saya
tidak bagus hari ini dan terlalu terikut-ikut rentak lawan. Tahap kecergasan
saya berada dalam keadaan baik, begitu juga fizikal, cuma saya masih belum
dapat menyesuaikan dengan keadaan di gelanggang pertandingan.
"Tanggungjawab sebagai
kapten bukan tekanan tambahan kepada saya. Kalau jurulatih mengizinkan saya
beraksi lagi esok, saya yakin akan tampil dengan permainan lebih baik. Kalau
saya turun dalam perlawanan penentuan, saya yakin untuk menghadiahkan
mata," kata Daren.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140519/su_02/Malaysia-belum-selamat#ixzz326hEtmV2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment