KUANTAN 16 Mei - Menjadi
peserta terakhir memperdengarkan bacaan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat
Kebangsaan Ke-57 di sini malam ini adalah sesuatu yang tidak disangkakan oleh
qariah dari Selangor, Nor Faizah Panut, 25.
Menurut Nor Faizah yang juga
mahasiswa Sarjana Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sejak
hari pertama pertandingan, dia sememangnya tidak sabar untuk mengambil giliran
kerana pelbagai persediaan telah dilakukan.
"Saya memang
tertunggu-tunggu giliran untuk membaca. Malam ini tiba juga giliran saya iaitu
pada malam terakhir tilawah dan paling tidak disangka menjadi peserta yang
terakhir.
"Bagaimanapun, ia satu
kelebihan bagi saya kerana dapat membuat pemerhatian daripada qari dan qariah
lain untuk memperbaiki dan memperkemaskan bacaan terutama dalam aspek
kelancaran sebutan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Nor Faizah antara 10 peserta
yang memperdengarkan bacaan pada malam terakhir majlis tilawah yang
berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.
Majlis Penutup Tilawah
al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 malam esok dijadual disempurnakan oleh
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan akan dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk
Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.
Sementara itu, ibu kepada
seorang cahaya mata berusia enam bulan ini juga sentiasa memastikan mendapat
rehat yang mencukupi agar dapat memperdengarkan bacaan dengan sempurna.
"Selain menekankan latihan
dalam pelbagai aspek, saya juga pastikan mendapat rehat yang mencukupi,"
jelas Nor Faizah.
Qari dari Terengganu, Ahmad
Tirmizi Ali, 29, pula mengakui debaran kian memuncak menjelang malam akhir
pertandingan sementelah dia merupakan peserta pertama memperdengarkan bacaan
malam ini.
"Insya-Allah saya akan
lakukan yang terbaik dan beberapa jam sebelum pertandingan bermula saya hanya
menumpukan bagi mendapatkan rehat yang cukup.
"Setelah menjalani
pelbagai latihan terutama dalam mengawal pernafasan saya bertawakal kepada
Allah dan akan melakukan yang terbaik," katanya yang juga juara Akademi
al-Quran musim keempat.
Sementara itu, bagi juara
menunggu, Hanimzah Jalaluddin, 32, walaupun penyertaan kali ini merupakan yang
keenam tetapi persediaan yang dilakukan tetap sama iaitu memperbanyakkan
latihan dari semua sudut.
"Persaingan kali ini
sememangnya mencabar dan saya harap dapat membaca dengan baik di samping turut
meletakkan harapan untuk kekal sebagai juara.
"Namun, saya berserah pada
rezeki Allah SWT dan akan berusaha melakukan yang terbaik," katanya.
Rujukan-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140517/dn_12/Qariah-Selangor-lengkapkan-bacaan-30-peserta#ixzz31vVO8ntN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment