Thursday, 22 May 2014

RvP tekad tebus kekecewaan EPL

The Hague: Bintang Belanda, Robin van Persie berharap Piala Dunia akan menjadi penawar untuk musim sukarnya di Manchester United.“Untuk pertama kali dalam karier profesional, saya gagal menamatkan musim tanpa layak ke pentas Eropah,” kata penyerang berusia 30 tahun itu.
Pada musim pertamanya bersama United di bawah kendalian Alex Ferguson, van Persie meledak 26 gol dan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, musim kedua dianggap malapetaka baginya apabila kelab terkaya Britain itu menamatkan saingan di kedudukan terendah sejak 1990 dan pengurus baru, David Moyes hanya bertahan 10 bulan.
“Ia adalah musim yang sukar. Tiada yang berhasil buat kami,” kata van Persie. 
Penyerang itu mengalami kecederaan yang biasa dialaminya - lutut - pada Mac yang menyaksikan dia tersisih selama enam minggu.
“Saya tidak pernah bimbang terlepas Piala Dunia namun adalah benar kecederaan itu hadir pada masa yang amat tidak sesuai,” katanya. 
Brazil mungkin menjadi peluang terakhir untuk van Persie, pemain yang mencipta nama di Feyenoord dan menjadi ikon di Arsenal sebelum perpindahannya bernilai £24 juta (RM130.3 juta) ke Manchester pada 2012, untuk meraih kejuaraan di pentas antarabangsa.

Reputasinya sudah terbukti di England apabila muncul 10 penjaring tertinggi dalam sejarah Liga Perdana dengan 134 gol. 
Sebagai salah seorang penyerang paling digeruni di dunia, dia muncul penjaring terbanyak dalam kalangan negara Eropah untuk kelayakan Piala Dunia dengan 11 gol dan menjadi pemain penting untuk Belanda.

Belanda melangkah ke final Piala Dunia 2010 namun van Persie dan rakan-rakannya mengharungi kekecewaan Kejohanan Eropah 2012 di Ukraine apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

“Dia seorang pemain yang sangat berbakat sehingga saya tidak mampu menang tanpanya,” kata jurulatih Belanda, Louis van Gaal selepas pemain itu menjaringkan tiga gol ketika menentang Hungary pada Oktober 2013 untuk muncul penjaring terbanyak Belanda sepanjang masa. - AFP


Artikel ini disiarkan my METRO pada : 2014/05/22

No comments:

Post a Comment