11 Disember 2014 1:28 AM
PEMAIN-pemain Harimau Malaya
menjalani latihan terakhir di padang latihan StadiumNasional My Dinh, Hanoi
semalam bagi menghadapi Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF. –
UTUSAN
HANOI - Bukan sahaja kemenangan
yang perlu dilakar oleh Harimau Malaya di Stadium Nasional My Dinh malam ini
tetapi memulihkan maruah yang tercemar selepas dimalukan oleh Vietnam di laman
sendiri Ahad lalu.
Umpama memikul misi dua dalam
satu dalam usaha untuk ke perlawanan akhir, Harimau Malaya perlu segera
melupakan aksi sumbang di Stadium Shah Alam dan mempamerkan prestasi
sebagaimana mereka tunjukkan ketika berdepan Singapura dan Thailand di
peringkat kumpulan.
Itu harapan terakhir Dollah
yang mengharapkan Harimau Malaya agar kembali menunjukkan belang sebenar di
depan ribuan penyokong Vietnam malam ini.
“Dalam latihan terakhir hari
ini (semalam), pemain begitu serius dan saya harap mereka mampu menonjolkan
kembali prestasi sebagaimana mereka pamerkan ketika kita jumpa Singapura dan
Thailand.
“Saya telah bercakap dengan
beberapa pemain senior, harap mereka dapat membantu menerapkan semangat kepada
yang junior.
“Jangan ulang kesilapan yang
kita lakukan.
“Berdepan Vietnam, mereka cepat
mengambil peluang jika kita leka,” katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan
semalam.
Menang 1-0 masih tidak
mencukupi buat Harimau Malaya kerana perlu meraih kelebihan dua gol malam
ini.
Terdesak mahu mendapatkan
kemenangan, Dollah dijangka melakukan rombakan besar-besaran dengan memberi
peluang kepada Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan penjaga gol
Farizal Marlias di dalam kesebelasan utama.
Selain itu, kehadiran Amri
Yahyah dan Shukor Adan yang selesai menjalani penggantungan membolehkan
Dollah mengembalikan kestabilan kepada bahagian tengah dan pertahanan.
“Pasti akan ada rombakan, saya
terpaksa mengambil risiko ini kerana ini adalah perlawanan hidup mati pasukan
selain memperbaiki kelemahan kita pada separuh akhir pertama.
“Saya akan cuba menguji
beberapa kombinasi pemain dan dari situ saya akan buat keputusan siapa pemain
yang layak dalam kesebelasan utama,” katanya.
Vietnam pula akan mendapat
semula khidmat perancang utama Vu Minh Tuan yang kembali daripada penggantungan
tetapi Dollah tidak menghiraukan kehadiran pemain berpengaruh bagi pasukan tuan
rumah itu.
“Bagi saya sesiapa sahaja yang
diturunkan Vietnam esok (malam ini) adalah tidak penting kerana mereka
mempunyai ramai pemain berkualiti.
“Sesiapa sahaja daripada
pemain ini iaitu nombor 10 (Nguyen Van Quyet), nombor 9 (Le Cong Vinh), nombor
7 (Ngo Hoang Tinh) dan nombor 19 (Pham Thanh Luong) adalah berbahaya,” katanya.
– UTUSAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/misi-tebus-malu-8211-dollah-1.35047#sthash.I1xsnM1B.dpuf
No comments:
Post a Comment