Ad

Thursday, 11 December 2014

Safee tidak beraksi malam ini



11 Disember 2014 5:33 PM
HANOI 11 Dis. - Malaysia bakal terlepas sentuhan Safee Sali dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh malam ini selepas penjaring gol terbanyak 2010 itu mengalami kecederaan pangkal paha.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan skuad Harimau Malaya, semalam.

Jentera serangan Malaysia bagaimanapun kembali diperkuatkan oleh bintang penyerang JDT, Mohd. Amri Yahyah yang menamatkan penggantungan satu perlawanan.

Amri akan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha.

Ketua Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh juga melakukan beberapa rombakan penting, termasuk menggantikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat kepada Farizal Marlias.

Pemain Tengah Terbaik Kebangsaan 2014, Mohd. Badhri Radhzi bakal membuat penampilan sulung dalam Piala AFF, manakala Mahali Jasuli digugurkan dan posisi bek kiri akan diisi oleh S. Kunanlan.

Selepas kalah 1-2 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lalu, Malaysia perlu mencari kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Skuad Harimau Malaya, juara 2010 turut meraih semula motivasi dengan kepulangan ketua pasukan, Shukor Adan yang terlepas aksi separuh akhir pertama akibat penggantungan. - UTUSAN ONLINE

BARISAN KEMUNGKINAN

Penjaga gol: Farizal Marlias

Pertahanan: Zubir Azmi, Shukor Adan, Fadhli Mohammad Shas, S. Kunanlan

Tengah: Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Badhri Radhzi, Safiq Rahim, Azzamudin Akil

Serangan: Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Amri Yahyah
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-tidak-beraksi-malam-ini-1.35272#sthash.7m9NjOPc.dpuf

No comments:

Post a Comment