05 Jun 2015 12:44 AM
SINGAPURA - Sukan SEA 2015
Singapura dijangka menjadi medan terakhir untuk Datuk Ong Kim Swee membimbing
skuad Bawah 23 negara dan dia sudah memberi bayangan tidak lagi berminat
meneruskan tugasnya untuk temasya akan datang.
Ong Kim Swee
Walaupun masih belum membuat
sebarang keputusan terhadap masa depannya, pengendali dari Melaka itu berkata,
tiga temasya yang dilalui sudah cukup buatnya dan dia bersedia mengumumkan
perkara berkenaan sebaik sahaja pasukan negara menyelesaikan baki perlawanan,
menentang Brunei (8 Jun) dan Laos(11 Jun).
“Belum pasti apa yang saya akan
lakukan selepas ini dan biar saya habiskan baki dua perlawanan dulu, saya akan
buat keputusan selepas itu namun cukuplah tiga Sukan SEA yang telah saya
lalui,” katanya dalam sidang akhbar selepas anak-anak buahnya kalah 0-1 kepada
Thailand di Stadium Bishan semalam.
Rasa ‘merajuk’ Kim Swee telah
dapat dirasakan wartawan sebelum skuad ke Singapura memandangkan dia kelihatan
kurang gembira dengan tempoh serta cara persiapan diberikan berbanding ketika
menghadapi dua edisi Sukan SEA lalu.
Perkara itu boleh dilihat
berdasarkan apa yang diluahkannya apabila menjelaskan tidak wajar menyamakan
apa yang berlaku di Singapura dengan empat tahun lalu, iaitu kali terakhir
Malaysia memenangi pingat emas di Indonesia serta Sukan SEA Myanmar 2013.
“Jika anda tanya saya, empat
tahun lalu bagaimana kita persiapkan pasukan ini, begitu juga dua tahun lalu,
bagaimana? Apabila melihat apa yang dilakukan dalam tempoh persiapan kali ini,
kami hanya diberi masa tiga minggu.
“Sedangkan semasa kami menang
di Indonesia, skuad itu dibentuk selama dua tahun dan berlatih di Slovakia,
begitu juga ketika Sukan SEA di Myanmar, enam bulan mereka mendapat pendedahan
di Slovakia.
“Dalam bola sepak, pemain kena
beraksi selalu untuk membentuk keserasian dan tengoklah Thailand, ramai pemain
mereka pada kali ini bermain dalam Piala AFF serta ada banyak pengalaman,
formula yang sama seperti mana Malaysia muncul juara Piala AFF 2010 dan emas
Sukan SEA setahun kemudian,” katanya.
Jelasnya, semua pihak perlu
menerima kenyataan bahawa Thailand dan Vietnam merupakan dua lawan yang cukup
kuat dalam edisi kali ini dan Kim Swee berharap persiapan lebih baik dapat
dilakukan pada masa akan datang.
Mengulas mengenai permainan
semalam, katanya, biarpun merombak pasukan namun tindakan itu tidak mengubah
banyak perkara kerana kali ini skuadnya tidak mempunyai pemain yang menonjol
dan semua pemain boleh dikatakan agak sederhana.
“Tidak banyak perbezaan jika
perhatikan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini yang mana kita beraksi
dengan 10 orang semasa menentang Timor Leste, kemudian bergelut dengan Vietnam
dan aksi hari ini,” katanya. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-bakal-berundur-1.99211#sthash.ADwo9Z6j.dpuf
No comments:
Post a Comment