KIM SWEE tetap mahukan
anak-anak buahnya meraih kemenangan pada aksi menentang Brunei hari ini.
SINGAPURA – Biarpun sekadar
pelengkap jadual kerana peluang untuk layak ke separuh akhir telah pun
tertutup, jurulatih pasukan bola sepak Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee
tetap mahu para pemainnya fokus pada aksi menentang Brunei di Stadium Bishan
malam ini.
Dua perlawanan terakhir
melibatkan skuad negara menentang Brunei dan Laos pada Khamis ini seakan tidak
memberi sebarang makna kerana cabaran mereka telah berakhir sebaik tewas
kepada Thailand 0-1 pada perlawanan ketiga Khamis lalu dan sebelum itu tewas mengejut
kepada Vietnam 1-5.
Tiga mata yang berjaya dikutip
dalam tiga perlawanan menyaksikan prestasi skuad bimbingan Ong Kim Swee kali
ini menyamai prestasi yang dilakukan skuad negara pada Sukan SEA di Korat pada
2007 yang juga terpaksa pulang awal.
Bagaimanapun, Kim Swee yang
membayangkan akan meninggalkan skuad Harimau Muda selepas tugasan kali ini,
masih menganggap misinya belum selesai dan berharap para pemain mampu memberi
tumpuan penuh pada baki dua perlawanan tersebut.
“Walaupun peluang sudah tertutup
tapi ada tugas untuk diselesaikan. Saya tak mahu pemain ambil mudah walaupun
Brunei tewas dalam semua perlawanan setakat ini.
“Saya harap kita dapat capai
matlamat untuk memburu kemenangan,” katanya.
Perjuangan skuad negara kali
ini seakan serba tidak menjadi apabila mereka dipalit insiden kontroversi
pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang digantung enam perlawanan kerana
meludah pemain Timor Leste seterusnya dibelasah Vietnam ketika mereka
mengharapkan kemenangan dan tewas 0-1 kepada Thailand dalam misi ‘wajib’ menang
itu.
Selain tiga mata penuh untuk
mengubat kedukaan, Kim Swee membayangkan akan merombak kesebelasan utamanya
dan mahu para pemain yang diberi peluang tidak mensia-siakan kesempatan itu.
“Kemungkinan besar saya akan
menurunkan pemain yang belum beraksi dan jarang beraksi esok (hari ini).
“Saya mahu pemain-pemain
menunjukkan prestasi baik khususnya dari corak permainan kerana ramai pemain
dalam skuad ini masih layak beraksi pada Sukan SEA akan datang,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3cS8CXeLt
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment