AHAD, 7 JUN 2015 @ 12:03 AM
SHAH ALAM: Malaysia seri 0-0
dengan Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium
Shah Alam di sini malam ini. Skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh
kurang menyengat pada malam ini untuk melakukan penyudahan bagi menghasilkan
gol walaupun mendapat sokongan gemuruh daripada peminat tempatan. Hong Kong
hampir mendahului pada minit ke-10 apabila Lam Ka Wai membuat umpanan yang
tepat kepada Chan Man Fai tetapi dapat diselamatkan oleh penjaga gawang
Malaysia Mohd Farizal Marlias.
Peluang tuan rumah untuk
mendahului hasil sepakan bebas kapten pasukan Indra Putra Mahayuddin dihalang
oleh penjaga gol Yapp Hung Fai pada minit ke-29 sementara tendangan Joseph
Kalang Tie ditepis keluar oleh penjaga gol dan kapten pasukan Hong Kong, itu.
Kebuntuan berterusan hingga akhir babak pertama yang menyaksikan Mohd Amri
Yahyah gagal memanfaatkan hantaran silang Ahmad Syamim Yahya dalam kotak
penalti pada minit ke-40 dan Mohd Afiq Azmi sekali lagi terlepas peluang untuk
membuka jaringan pada akhir babak pertama.
Skuad kebangsaan meneruskan
asakan pada babak kedua tetapi masih gagal untuk menewaskan Yapp menerusi
tendangan Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-68 dan ke-76 dan tandukan lemah
Mohd Afiq Azmi pada minit ke-82. Malaysia akan bertemu Timor Leste pada 11 Jun
dan Palestin pada 16 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam Pusingan
Kelayakan Asia Piala Dunia Rusia 2018 yang juga sebagai Pusingan Kelayakan
Piala AFC Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2019. - BERNAMA
Sumber :
http://www.bharian.com.my/node/59741
No comments:
Post a Comment