Ad

Monday, 1 June 2015

Nazmi bakal tanggung akibat

Pulang lebih awal jika digantung lebih dua perlawanan
MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  01 Jun 2015 1:16 AM
 Ong Kim Swee
Ong Kim Swee

SINGAPURA - Ketua Jurulatih skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee tidak akan teragak-agak untuk menghantar pemain tengah, Muhd. Nazmi Faiz Mansor pulang lebih awal sekiranya dia digantung le­bih daripada dua perlawanan.
Kim Swee mengakui, beliau amat kecewa de­ngan sikap Nazmi yang dianggap tidak profesional selepas pemain berusia 21 tahun itu dibuang padang ketika menentang Timor Leste dalam aksi pembukaan Sukan SEA kelmarin akibat meludah pemain lawan, Filipe ­Oliveira.
Terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir menghukum pa­sukan negara sebelum akhirnya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste yang dianggap pasukan kerdil di rantau Asia Tenggara.
Kata Kim Swee, semua kini terpulang kepada keputusan Jawatankuasa Disiplin Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) sama ada mahu mengenakan hukuman tambahan kepada Nazmi.
“Jika benar dia melakukan kesalahan seperti mana diperkatakan serta digantung lebih daripada minimum dua perlawanan (hukuman tambahan), saya akan menyuruh dia pulang kerana sudah tentu dia tidak dapat membantu kita di sini.
“Mungkin esok (hari ini) atau lusa (esok) kita akan tahu keputusan. Sama-samalah kita nantikan dan sukar untuk saya ramal apa yang bakal berlaku kepada Nazmi.
“Bagi saya apa yang dia buat cukup memalukan ke­rana sesiapa sahaja yang menonton siaran langsung di kaca televisyen boleh nampak dia ada niat untuk meludah kepada pemain lawan, persoalannya..mengapa dia mahu buat sedemikian?
“Sepatutnya sebagai seorang pemain utama, dia tidak boleh berbuat begitu dan adakah dia sedar hanya kerana dia tidak dapat bermain, saya kini terpaksa me­lakukan rombakan dalam kese­belasan utama dan menukar permainan kita,” katanya.
Kim Swee juga menegaskan, beliau sama sekali tidak akan melakukan mengemukakan ra­yuan sekiranya Nazmi dikenakan hukuman berat kerana ia um­pama ‘menegakkan benang yang basah’ iaitu mempertahankan perkara yang terbukti salah.
“Kenapa nak buat rayuan? Bagi saya tidak perlu buat rayuan kalau dia sudah buat salah dan prinsip saya jika seseorang pemain itu tidak membuat salah, saya sanggup pertahankannya malah semasa perlawanan berlangsung sekali pun namun kalau benda dah salah, buat apa saya hendak lindungi dia?
“Malah, saya terima apa sahaja hukuman yang bakal dikenakan ke atas Nazmi dan jika dia didenda, saya tiada masalah dan menyokong,” katanya.
Nazmi mencetus kontroversi pada minit ke-32 apabila gagal mengawal sikap panas barannya dengan meludah berhampiran Oliveira.
Situasi itu memaksa 10 pemain yang tinggal bekerja keras mempertahankan jaringan D. Saarvindran pada minit ke-12 dan kemenangan 1-0 itu dilihat mengecewakan kerana di atas kertas, Malaysia boleh menang dengan jaringan besar.
Sementara itu, Nazmi berkata, dia menerima kesalahannya de­ngan rasa tanggungjawab tetapi dia tidak bermaksud mahu menyusahkan rakan-rakan sepasukan.
“Apa yang berlaku semuanya spontan, kalau saya hendak ludah betul-betul, baik ludah dekat muka dia namun saya jauh daripada dia,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Tambahnya, pemain Timor Leste itu cuba menyiku serta menumbuknya ketika dalam situasi perebutan bola yang menyebabkan dia secara tiba-tiba bertindak sedemikian.
“Semasa saya dan dia cuba mendapatkan bola dalam situasi 50-50, dia menyiku dan cuba menumbuk saya. Selepas bola keluar, lebih kurang dua langkah saya meludah, tetapi bukan kena, namun pegawai perlawanan keempat nampak insiden itu dan mengatakan saya meludah serta mengenai pemain terbabit.
“Ini satu pengajaran besar buat saya selaku pemain bola sepak, walaupun ia cuma ludah yang kecil yang tidak dapat dite­rima dalam bola sepak,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nazmi-bakal-tanggung-akibat-1.97867#sthash.NxIbVqes.dpuf

No comments:

Post a Comment