WAJAH-wajah emas (dari kiri)
Yan Yee, Yiwei, Tze Liang dan Jun Hoong menyumbang dua pingat emas buat
kintinjen negara pada hari pertama acara terjun di Pusat Akuatik OCBS,
Singapura semalam.
SINGAPURA – Skuad terjun
bermula dengan terjunan emas sebaik acara tersebut membuka tirai di Pusat
Akuatik OCBC, semalam.
Dua emas berjaya dirampas iaitu
menerusi Cheong Jun Hoong dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita dan
gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei yang menggalas cabaran dalam acara 10m
platform seirama.
Jun Hoong yang tampil cemerlang
pada aksi pembuka tirai itu, memungut 349.65 mata, sekali gus mengatasi rakan
senegara, Ng Yan Yee yang menamatkan saingan dengan 309.20 mata.
Jun Hoong berjaya mencatat mata
tertinggi pada terjunan pertama dengan mengutip 72.00 mata sebelum mencatat
mata tertinggi pada terjunan kelima iaitu yang terakhir apabila mencatat 73.95
mata.
Pasukan tuan rumah yang diwakili
dua penerjun, gagal menyaingi dua atlet negara apabila wakil mereka Fong Kay
Yian hanya berjaya mencatat 258.90 mata untuk meraih pingat gangsa.
Sementara itu, Jun Hoong yang
baharu sahaja pulang daripada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Mexico mengakui
tertekan, namun enggan memikirkan perkara tersebut, sebaliknya hanya fokus
terhadap terjunan yang dilakukan.
“Saya hanya fokus dengan
persembahan walaupun saya sedar rakan sepasukan (Yan Yee) turut bersaing dalam
acara ini dan mampu mencabar saya. Walaupun turun sebagai penyandang juara
selepas meraih pingat emas di Myanmar dua tahun lalu, saya enggan terlalu
memikirkan perkara itu dan hanya buat apa yang sepatutnya saya buat,” katanya
ketika ditemui semalam.
Beliau yang hanya menyertai
acara 3m papan anjal pada Sukan SEA kali ini juga berharap, atlet muda yang
berada dalam kontinjen negara pada temasya kali ini harus tampil memberikan
aksi yang terbaik, sekali gus mengulangi pencapaian lapan pingat emas ketika di
Myanmar dua tahun lalu.
Biarpun persaingan di Sukan SEA
tidak sehebat Kejohanan Siri Dunia, namun Jun Hoong mengakui bahawa ia
merupakan saingan yang kompetitif dan memberinya peluang untuk memperbaiki
persembahan sebelum menyertai kejohanan yang lebih besar.
Dalam pada itu, bagi Yan Yee
Sukan SEA kali ini merupakan penyertaan keempatnya dan kejayaan memenangi
pingat perak tetap memberi makna yang besar dalam kariernya.
“Saingan di sini cukup baik
untuk saya kerana apa sahaja kesilapan yang saya lakukan saya dapat kenal pasti
dan sekurang-kurang saya mampu memperbaikinya sebelum ke kejohanan lebih besar.
Saya gembira dengan kejayaan ini,” jelasnya.
Kejayaan yang dibuktikan oleh
dua penerjun wanita negara itu terus dijejaki oleh gandingan Tze Liang-Yi Wei
yang turut berada di puncak prestasi dalam acara 10m platform seirama lelaki.
Seawal terjunan pertama,
pasangan negara berada dalam kelas tersendiri dengan mencatat 52.20 sebelum
mengakhiri enam pusingan untuk mengumpul mata keseluruhan sebanyak 404.37 mata,
sekali gus menewaskan saingan terdekat, Andriyan dan Adityo Restu Putra dari
Indonesia dengan ketinggalan 49.26 mata sementara pingat gangsa di raih
Theerapat Siribon dan Yo Junthapadawon dari Thailand.
Yi Wei yang ditemui nyata
gembira dengan keputusan tersebut terutama ia merupakan pingat emas pertama
yang dimenangi selepas dua Sukan SEA.
Pada temasya di Myanmar dua
tahun lalu, dia meraih pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal.
“Saya sangat gembira dengan
pencapaian ini. Kami hanya mahu mengekalkan konsistensi walaupun ia bukanlah
persembahan terbaik. Latihan intensif di China selama sebulan nyata memberi
banyak manfaat untuk kami dari segi kualiti terjunan dan membantu kemenangan
hari ini.
“Kami mahu melakukan yang
terbaik dan pingat emas ini saya dedikasikan kepada jurulatih saya, pihak
persatuan dan Majlis Sukan Negara yang banyak membantu. Pingat emas ini juga
memberi saya semangat untuk beraksi pada acara 10 meter platform individu pada
Isnin ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, Yi Wei percaya
pasukannya mampu mengulangi kejayaan meraih lapan pingat emas ketika di
Myanmar.
“Kita akan tunggu dan lihat
hasilnya. Kami menjalani latihan lebih kuat berbanding ketika persiapan ke
Myanmar dan saya fikir tidak mustahil untuk kami mengulangi kejayaan yang
sama,” jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3cNxFUt9O
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment