ISNIN, 1 JUN 2015 @ 7:05 PM
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bh.com.my
PERDANA Menteri menandatangani plak pelancaran Sistem
BRT-Sunway Line sambil diperhatikan Ismail (dua kiri) dan Jeffrey Cheah (dua kanan).
- Foto Sairien Nafis KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi
melancarkan Sistem Bas Rapid Transit Sunway Line (BRT-Sunway Line), sistem
pengangkutan elektrik yang pertama di negara ini bagi mengurangkan kesesakan
trafik di Lembah Klang. Perdana Menteri berkata, projek kerjasama awam swasta
(PPP) antara Prasarana Malaysia Bhd dan Sunway Bhd itu turut direkodkan di
dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Katanya, projek berkenaan yang siap tiga
minggu awal dari masa disasarkan juga bakal menyaksikan pengurangan pelepasan
karbon apabila orang ramai mula menggunakan perkhidmatan itu.
PERDANA Menteri,
Datuk Seri Najib Razak menaiki Bas Rapid Transit (BRT) di Majlis Pelancaran
Sistem Bas Rapid Transit (BRT) di Bandar Sunway. - Foto Sairien Nafis
"Pelaksanaan projek itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan
sistem pengangkutan awam yang berkesan serta mudah digunakan rakyat,"
katanya berucap merasmikan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) Pertama Di Malaysia,
BRT-Laluan Sunway di sini, petang tadi. Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Tan Sri
Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. Sistem
BRT- Laluan Sunway yang merangkumi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu
menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya hingga USJ7 dekat sini.
Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu membabitkan
sejumlah RM634 juta. Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan
memperuntukkan sejumlah RM23 bilion bagi pembinaan jajaran Transit Aliran Massa
(MRT) menghubungkan Sungai Buloh-Putrajaya dan jajaran Transit Aliran Ringan
(LRT) ketiga menghubungkan Bandar Utara-Shah Alam-Klang. "Kita memilih
NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Pengangkutan Awam kerana tidak berjaya
mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu dan berintegrasi sepenuhnya.
"Justeru, kita mewujudkan Prasarana dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan
Awam Darat) supaya dapat menyelaraskan pengangkutan awam," katanya. Pada
majlis itu, Najib turut mencuba perkhidmatan BRT selain diberi penghormatan
mengumumkan kadar percuma bagi perkhidmatan berkenaan untuk tempoh dua bulan
bermula esok. Sebanyak 15 bas disediakan bagi perkhidmatan itu dengan kapasiti
67 penumpang bagi setiap bas yang akan bergerak dengan kelajuan 80 kilometer
sejam. Sementara itu, jurucakap Prasarana berkata, dalam tempoh dua bulan
hingga 1 Ogos ini juga, pengguna ditawarkan kadar parkir promosi RM4 sehari di
Kompleks Park n Ride BRT.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/58510
No comments:
Post a Comment