Sunday, 3 November 2019

Fasiliti moden bantu Safawi cepat pulih

MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
KEMUDAHAN lengkap dan terbaik dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) membolehkan pemain pasukan terbabit pulih dengan cepat seterusnya cergas dalam menghadapi perlawanan penting terutama beraksi di pentas final Piala Malaysia.

Tonggak JDT Safawi Rasid berkata, sememangnya dia agak keletihan pada separuh akhir pertama ketika menentang Selangor tempoh hari namun bangkit semula beraksi dengan baik untuk memastikan Piala Malaysia menjadi milik JDT.

“Saya turut akui pada separuh akhir sebelum ini gagal beraksi dengan baik kerana mungkin faktor keletihan sekali gus menjejaskan rentak permainan. Mujur, JDT mempunyai fasiliti lengkap dengan kemudahan rawatan dan pemulihan canggih seterusnya dapat kembalikan tahap kecergasan pada tahap optimum,” katanya.

Pada aksi final semalam, JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez yang menolak masuk umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera, sebelum Safawi meledak gol kedua selang tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol Kedah. Syafiq Ahmad mengesahkan kemenangan JDT setelah menanduk masuk hantaran silang Afiq Fazail pada minit ke-58.

Selain itu, Safawi turut melihat kerja berpasukan menjadi antara kunci kejayaan merangkul kejuaraan. "Saya ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan semua terbabit dalam kem JDT. Saya memang hendak beraksi pada final tahun ini selepas tidak diturunkan pada 2017, dan impian saya untuk beraksi tercapai, jadi Alhamdulillah. Bukan mudah berada dalam kesebelasan utama JDT tanpa usaha," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:47 PM


No comments:

Post a Comment