SUKAN
ARIF AIMAN (kiri) telah terpilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my bagi edisi Mac 2021.
Bintang JDT dinobat Pemain Terbaik Mac
Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
1 Mei 2021, 11:30 am
SAHAM pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus melonjak selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Super untuk edisi bulan Mac lepas.
Perkara itu disahkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi laman sosial mereka semalam selepas pemain berusia 18 tahun itu menerima 6,686 undian peminat.
“Tahniah diucapkan kepada Arif Aiman Hanapi daripada pasukan JDT kerana terpilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM-asiana.my bagi edisi Mac 2021!,” kata FAM dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, Arif Aiman dianggap salah seorang pemain paling menyerlah buat skuad kendalian Benjamin Mora dengan meledak dua gol dalam 10 penampilan pada aksi Liga Super musim ini.
Arif Aiman berjaya mengatasi pemain import Terengganu FC, Makan Konate yang berada di kedudukan kedua dengan mendapat 3,502 undian.
Seorang lagi pemain yang sedang meningkat naik dan beraksi untuk Penang FC, Al Hafiz Harun meraih undian ketiga tertinggi dengan 3,289 undi atau 23.09 peratus.
Dalam perkembangan sama, Harimau Selatan menerusi laman rasmi pasukan Johor Southern Tigers turut mengucapkan tahniah kepada Arif Aiman atas kejayaan pemain muda itu muncul pemain terbaik bulanan pertama bagi saingan Liga Malaysia pada musim ini.
Anugerah anjuran PFAM dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (Asiana.my) adalah satu pengiktirafan kepada pemain bola sepak profesional yang bermain dalam Liga Malaysia (Liga M).
No comments:
Post a Comment