Agensi
PEMAIN Brazil meraikan kemenangan ke atas Colombia. FOTO AFP
Rio De Janeiro: Juara bertahan Brazil mengetuai Kumpulan B Copa America selepas meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Colombia dalam aksi tegang pagi ini.
Luis Diaz mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan menarik pada minit ke-10 tetapi Brazil lebih mendominasi perlawanan dalam usaha memburu gol penyamaan namun sukar melepasi pertahanan Colombia.
Bagaimanapun, Brazil meningkatkan asakan pada babak kedua dan kemasukan Roberto Firmino menambah sengat di bahagian jentara serangan.
Neymar hampir menjaringkan gol pada minit ke-66 selepas memperdayakan penjaga gol, David Ospina namun rembatannya terkena tiang.
Skuad Reinaldo Rueda kekal bertahan tetapi akhirnya bolos pada minit ke-78. Jaringan kontroversi itu tercetus selepas bola terkena pengadil, Nestor Pitana yang tampak seperti meniup wisel sebelum dia meneruskan permainan yang membolehkan Brazil menjaringkan gol pertama menerusi Firmino.
NEYMAR (tengah) dikawal ketat dua pemain Colombia. FOTO AFP
Perlawanan menjadi lebih 'panas' selepas itu dengan banyak kekasaran dilakukan sehingga perlawanan dilanjutkan 10 minit.
Serangan bertali arus Brazil akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-100 selepas Casemiro menanduk sepakan sudut Neymar untuk mengesahkan kemenangan.
Pemain Colombia tiada alasan kali ini selepas mereka gagal mengawal Casemiro yang tangkas memanfaatkan peluang.
Kemenangan itu yang ketiga Brazil untuk mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata manakala Colombia kekal di tangga kedua dengan empat mata daripada empat perlawanan.
Peluang Colombia untuk mara kini bergantung kepada keputusan perlawanan lain.
Lagi berita berkaitan Copa America 2021Disiarkan pada: Jun 24, 2021 @ 11:04am.1
____________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722009/brazil-menang-dalam-aksi-tegang

No comments:
Post a Comment