Wednesday, 23 June 2021

Pertarungan Portugal, Perancis jadi tumpuan

Agensi



RONALDO dan Kylian Mbappe sandaran pasukan masing-masing untuk memburu jaringan. FOTO AFP

Budapest: Antoine Griezmann dan rakan sepasukan berharap dapat bangkit dengan meraih kemenangan kedua di Euro 2020 selepas hanya seri dengan Hungary.

Juara Piala Dunia 2018 itu juga mahu membalas dendam ke atas Portugal dan Cristiano Ronaldo yang menewaskan mereka pada final Kejohanan Eropah 2016 di Paris.Pertembungan Les Bleus dan Portugal yang berlangsung di Stadium Ferenc Puskas pagi esok menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia.

Selepas tewas kepada Jerman pada perlawanan kedua, skuad Fernando Santos berharap dapat mencipta kejutan ke atas Perancis namun penyerang terbilang mereka, Ronaldo bakal berdepan tugas sukar menentang anak buah Didier Deschamps.

Perancis menang tiga daripada lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sejak 2014 dan tewas dua kali.

Portugal pula pastinya mahu mengelakkan kesilapan seperti dua jaringan sendiri Rúben Dias dan Raphaël Guerreiro ketika dibelasah skuad Joachim Low.

Mereka juga tanpa penyerang Joao Felix dan pertahanan kiri Nuno Mendes pada aksi terakhir Kumpulan F itu. Kedua-duanya turut tidak bermain ketika menentang Jerman.

Bintang Atletico Madrid, Felix, 21, masih mengalami masalah hamstring manakala pemain muda Sporting Lisbon, Mendes, 19, yang dilaporkan menarik minat Man United berdepan kecederaan paha.

Santos dijangka melakukan perubahan kecil di bahagian tengah dengan Rafa Silva mungkin diturunkan selepas membantu juara Eropah itu menewaskan Hungary.

Pada usia 36 tahun, bintang Juventus Ronaldo masih mampu mengancam kubu lawan. Bekas sayap Man United itu muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Eropah dengan 11 gol selepas memintas rekod milik legenda Perancis, Michel Platini.

Ronaldo kini mengumpul 107 jaringan dalam 176 perlawanan bersama pasukan kebangsaan Portugal.1

________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/721623/pertarungan-portugal-perancis-jadi-tumpuan

No comments:

Post a Comment