Ad

Saturday, 19 June 2021

Ronaldo terus melakar nama

2021-06-17T00:30:02+08:00



Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 di antara Hungary dan Portugal di Puskas Arena di Budapest. — Gambar AFP

PERLAWANAN TUMPUAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 di antara Hungary dan Portugal di Puskas Arena di Budapest. — Gambar AFP

BUDAPEST: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk menjadi penjaring gol terbanyak pada Kejohanan Eropah (Euro) ketika Portugal menjaringkan tiga gol lewat untuk menewaskan Hungary 3-0 pada perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan F di Puskas Arena di sini.

Portugal, juara bertahan kejohanan, yang kelihatan memiliki skuad yang lebih kuat ketika memenangi kejuaraan antarabangsa pertama mereka lima tahun yang lalu, dipaksa bekerja-keras hampir sepanjang perlawanan di Budapest pada Selasa.

Tetapi Raphael Guerreiro memecah kebuntuan pada minit ke-84 sebelum Ronaldo menyempurna penalti tidak lama selepas itu dan melengkapkan jaringan pada minit kecederaan.

Ia penting untuk memulakan kejohanan dengan langkah kanan dalam usaha untuk mendapat keyakinan,” kata Ronaldo.

Sekarang kami harus meneruskan rentak dan memenangi perlawanan seterusnya.”

Penyerang kelab Juventus itu sudah menjaringkan 11 gol pada kejohanan ini, dua gol lebih banyak berbanding bintang legenda Perancis, Michel Platini, yang menjaringkan sembilan gol ketika membimbing Perancis muncul juara pada 1984.

Ronaldo, 36, kini kurang tiga gol dari menyamai rekod gol terbanyak antarabangsa sepanjang zaman, yang dimiliki penyerang Iran, Ali Daei dengan 109 gol.

Ronaldo memilih venue dengan jumlah penonton terbanyak pada kejohanan ini untuk mengatasi rekod Platini, dengan Budapest adalah satu-satu venue pada Euro 2020 yang tidak mempunyai had penonton ekoran pandemik COVID-19.

Puskas Arena mempunyai kapasiti hampir 68,000 penonton pada perlawanan itu.

Kami tidak selayaknya tewas 0-3, dengan sedikit tuah, kami mungkin boleh berkongsi mata tetapi ia adalah satu pengalaman sangat berharga,” kata penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, memilih untuk menurunkan Diogo Jota dan Bernardo Silva bersama-sama Ronaldo di jentera serangan, dengan Joao Felix bermula di bangku simpanan.

Ronaldo mencipta peluang kepada Bernardo Silva pada minit ke-28 tetapi Silva terlalu lama membawa bola, membolehkan Willi Orban melakukan bentesan kemas.

Hungary tidak memberikan banyak ancaman walaupun ada mencemaskan sedikit pertahanan Portugal sebelum rehat apabila tandukan Adam Szalai dari satu tendangan percuma terlalu hampir dengan penjaga gol Portugal, Rui Patricio.

Portugal memulakan separuh masa kedua dengan rentak yang sama dan menyedari kegagalan mencapai kemenangan akan menyukarkan peluang mereka dalam kumpulan maut itu, dengan tandukan Pepe ditepis Gulacsi.

Ketika Portugal terus gagal menyempurnakan peluang, Hungary semakin yakin untuk bertahan dan mengintai satu mata berharga sehinggalah pemain gantian, Rafa Silva melihat umpanan beliau disempurnakan Guerreiro pada minit ke-84.

Gol itu membakar semangat Portugal dan tiga minit kemudian, Rafa Silva dikasari dalam kotak penalti, membolehkan Ronaldo menambah koleksi gol beliau di Eropah pada hari di mana beliau sudah mencipta sejarah sebagai pemain pertama yang bermain pada lima edisi Euro.

Ronaldo mencipta satu lagi rekod apabila menjaringkan gol kedua peribadi untuk gol terbanyak kejohanan dan gol ke-106 beliau untuk Portugal. — AFP.1

____________________________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/17/ronaldo-terus-melakar-nama

No comments:

Post a Comment