Oleh RADHUAN HUSSAIN-sukan@utusan.com.my
HULU TERENGGANU - "Saya akan panggil pasukan T-Team dalam masa
terdekat ini. Kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan saya akan minta para
pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di
depan saya, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."
Demikian kenyataan tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said,
yang nyata kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang
tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala
FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM kelmarin memberi kemenangan
3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir
selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua di Stadium Tan
Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.
"Saya amat kecewa dengan keputusan FAM (beri kemenangan kepada JDT).
"FAM kena profesional, jangan double standard. Kalau beginilah cara,
saya percaya bola sepak Malaysia tak akan ke mana," kata Ahmad lagi ketika
ditemui pemberita ketika melawat Kampung Pelandan dekat sini semalam.
Ahmad yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut berkata, sumpah itu
dijangka dibuat sama ada Isnin atau Selasa ini dalam usaha mencari kebenaran.
Beliau turut menyarankan agar pengurusan serta pemain JDT melakukan perkara
yang sama (bersumpah dengan al-Quran) bagi memastikan siapa sebenarnya di pihak
yang benar.
"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya
difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila
rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.
"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga
minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang
Islam," katanya lagi ketika diminta mengulas keputusan JKPT FAM.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan keputusan
itu berkata, JKPT membuat rumusan berdasarkan laporan dan soal siasat
membabitkan komisioner perlawanan, pegawai penyelaras, pengadil dan pegawai
kedua-dua pasukan.
Ahmad tetap mempersoalkan kewibawaan FAM sambil menyifatkan badan induk itu
membuat keputusan yang tidak profesional kerana keengganan T-Team meneruskan
perlawanan setelah mengambil kira faktor keselamatan pemain.
"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner
perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa
cerita sebenarnya. Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak
jawatankuasa FAM.
"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa
alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas
hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya
ini diambil kira FAM," ujarnya.
Ahmad turut membandingkan tindakan yang diambil badan induk itu ekoran
perlawanan bola sepak antara JDT dengan Pahang tahun lalu yang akhirnya
memutuskan diadakan perlawanan ulangan.
"Dulu juga pernah berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika
menyaksikan perlawanan antara JDT dengan Pahang, kemudiannya diadakan
perlawanan ulangan, kenapa boleh pula.
"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak
sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak
Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.
Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat
bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140208/su_01/Angkat-sumpah-jika-benar#ixzz2slqwky52
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment