Ad

Saturday, 8 February 2014

Bekas pemain gesa PSM jawab kritikan

KUALA SELANGOR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa menjawab desakan ahli-ahli supaya laporan kewangan badan induk sukan itu diaudit oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bekas pemain sepak takraw negara, Mohd. Futra Abdul Ghani berkata, PSM seharusnya tidak berdiam diri terhadap gesaan berkenaan sebaliknya badan berkenaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat khususnya peminat sepak takraw di negara ini mengenai bagaimana peruntukan yang disalurkan kepada badan induk itu dibelanjakan.

"Berani kerana benar, takut kerana salah. Jangan biarkan rakyat tertunggu-tunggu kerana mereka mahukan jawapan yang telus daripada PSM mengenai isu ini.

"Mereka ingin tahu ke mana wang yang diperuntukkan itu disalurkan, sama ada digunakan bagi pembangunan sepak takraw ataupun tidak," kata bekas apit kanan itu kepada pemberita sempena Jelajah Jom Bangkit Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia siri enam di Puncak Alam Fasa 2, di sini semalam.

Hadir sama, bekas kapten pasukan sepak takraw kebangsaan era 90-an, Shaari Hashim dan Presiden Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia (KRKBPSTM), Rommi Suhendra Norsal.

Mohd. Futra turut menggesa presiden-presiden sepak takraw negeri supaya bangkit dan memilih presiden PSM yang baharu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Presiden sepak takraw negeri-negeri perlu sedar dan memilih presiden yang benar-benar sayang dan komited untuk menaikkan semula imej sukan ini," tegasnya.

Sementara itu Rommi Suhendra berkata, pihaknya tidak menolak akan membawa isu ini secara terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika PSM masih lagi berdiam diri.

"Kami mewakili bekas pemain sepak takraw dan peminat sepak takraw di negara ini akan menyuarakan pandangan kami kepada Perdana Menteri kerana tindakan PSM seolah-olah ingin melupuskan sepak takraw yang selama ini menjadi identiti sukan Melayu dan kebangsaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, pemain yang pernah terlibat dalam pembangunan skuad pelapis kebangsaan, Mohd. Hazli Razali berkata, pembangunan sepak takraw di negara ini dilihat semakin merudum tahun demi tahun.

"Contohnya, sekitar tahun 2005-2006, terdapat kem latihan yang diwujudkan untuk skuad pelapis di Pulau Pinang namun secara tiba-tiba, program itu dibubarkan dan selepas itu tiada lagi kem sebegitu dijalankan," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140209/su_08/Bekas-pemain-gesa-PSM-jawab-kritikan#ixzz2slsHbA00 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment