|
ABD JALIL ALI
13 Februari 2014
NAMPAKNYA bola sepak kita
sudah terikut-ikut macam politik, panas tidak tentu fasal. Kalau tercetus
rasa tidak puas hati, ada pihak yang terlalu emosional, dan mengeluarkan
kenyataan berapi-rapi, macamlah bola yang sebiji itu segala-galanya.
Kini cara baharu untuk
menyelesaikan masalah di padang tidak lagi merujuk kepada pengadil, tetapi
melakukan acara bersumpah dengan al-Quran. Itulah yang terjadi di Kuala
Terengganu tiga hari lalu.
Penolong jurulatih pasukan
T-Team, Azlan Johar dan pemain tengahnya Khairan Izuan Razali, bersumpah
dengan al-Quran, di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Seperti yang dilaporkan
media, MB sendiri yang beria-ia meminta pemain dan pegawai skuad The Titans
itu bersumpah menggunakan Kitab Suci. “Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia
melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan,” katanya.
Isunya ialah insiden
kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1
Februari lepas, sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara
pasukan pantai timur itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium
berkenaan.
Pasukan T-Team berpendirian
berlaku kekasaran dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan. Tetapi
seorang pemainnya, Irfan Abd Ghani, mengeluarkan kenyataan di Johor, mendakwa
tidak nampak sebarang insiden dalam terowong. Maka cara terbaik untuk
menentukan kebenaran dalam isu ini ialah bersumpah dengan al-Quran.
Pada hemat saya, biarlah
orang politik sahaja yang bersumpah al-Quran, itu pun jika benar-benar perlu.
Saiful Bukhari pernah bersumpah seperti ini berhubung isu liwat yang
melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sampai kini kes belum selesai.
Terengganu memecah rekod
Malaysia sebagai negeri pertama melakukan sumpah seperti ini dalam isu bola
sepak negara. Tetapi apakah itu perlu? Tercemar sangatkah maruah diri
sehingga mengangkat Kitab Suci?
Bukan niat saya merendah dan
memperkecilkan T-Team. Mereka memang ada hak menuntut kebenaran dan keadilan.
Tetapi bersumpah al-Quran bukan satu-satunya cara menebus maruah.
Ini cara orang politik.
Janganlah hubaya-hubaya politik dibawa dalam bola sepak.
Lagi pun ada banyak lagi isu
besar yang lebih mencemarkan bukan sahaja maruah diri tetapi maruah negeri.
Insiden terowong di Larkin itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan insiden
keruntuhan demi keruntuhan yang terjadi di negeri penyu.
Bagi kebanyakan orang,
gelaran ‘Terengganu Darul Runtuh’ tentu sekali lebih mengaibkan lagi
menjatuhkan maruah.
Tambahan pula keruntuhan yang
tidak mengira waktu dan cuaca itu sering dikaitkan dengan kepincangan dan
penyelewengan. Apa sangatlah insiden bola berbanding kemelut stadium gah di
Gong Badak yang dua kali runtuh!
Biarlah Terengganu memulakan,
tetapi harap-harap sumpah al-Quran tidak menjadi trend bola sepak. Sumpah
seperti itu lebih menonjolkan keegoan, tetapi belum tentu dapat menamatkan
kemelut yang melanda bola sepak kita sejak sekian lama.
Apa sudahnya bola sepak
negara sekiranya acara sumpah seperti itu kerap dilakukan setiap kali berlaku
rasa tidak puas hati?
Saya tidak fikir sumpah dapat
menghapuskan gejala kronik yang melanda dunia bola kita, terutama rasuah
bola, judi bola, skandal bola dan seribu satu kepincangan pengurusan.
Badan induk bola @ FAM dan
persatuan-persatuan gabungan setiap negeri sering bertelagah dan berlawan
secara terbuka.
Ada ketikanya bercakaran
berebut jawatan. Masa, tenaga, idea dan wang ringgit yang sepatutnya
ditumpukan untuk memantapkan prestasi bola sepak, lebih banyak disia-siakan
untuk menyelesaikan krisis dalam persatuan.
Pengendali dan pegawai
badan-badan bola sepak kita terlalu banyak bercakap, berteori dan
berfalsafah. Tetapi kesan terhadap pembangunan sukan popular itu tidak
seberapa, malah menyedihkan setiap tahun. Hakikatnya ialah pasukan bola sepak
kita adalah antara yang tercorot dalam carta dunia.
Sesetengah pihak berpendapat,
bola sepak kita diterajui dan didalangi orang-orang politik – juga pihak
istana – yang kurang ilmu atau tidak tahu langsung mengenai bola sepak.
Tanpa prejudis, masanya
memang sudah tiba untuk melakukan transformasi pengurusan bola sepak dengan
menukar pengendali dan peneraju yang ada sekarang, dan diganti dengan mereka
yang betul-betul profesional.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
13.2.14
|
Ad
Labels
- AGAMA
- AKHYARLSJDT
- ARKIB LIGA MALASIA
- BELASUNGKAWA
- BICARA AGAMA
- HADIS-JAKIM
- HARI INI DALAM SEJARAH
- HIDUPAN LIAR
- HOKI MALAYSIA
- KARTUN
- PASIR PUTEH
- PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA
- PELANCONGAN
- PEMAIN MUDA 2017
- PENDIDIKAN
- PENGASUH 1918-1955
- PENYELIDIKAN SEJARAH AHMAD
- PIALA DUNIA
- PIALA FA
- PIALA MALAYSIA
- SEJARAH FELDA
- SEJARAH MALAYSIA
- SEJARAH STPM P2
- SEJARAH STPM P3
- SEJARAH STPM PI
- SELANGOR 2008
- SIRAH NABI
- SMK JENGKA2
- SUKAN KOMANWEL
- VIDEO SEJARAH
Thursday, 13 February 2014
Bola sepak dan sumpah al-Quran
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment