Friday, 14 February 2014

Chai Lin pecah dua lagi rekod

Atlet Universiti Sunway, Yap Leanne (kiri) dan Gade Siman Sudartawa dari UiTM menunjukkan pingat emas masing-masing selepas memenangi acara 50m kuak lentang di Pusat Akuatik Shah Alam semalam.
SHAH ALAM - Perenang kebangsaan, Khoo Chai Lin meneruskan kecemerlangannya dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) 2014 apabila merangkul pingat emas di Pusat Akuatik Darul Ehsan semalam.

Chai Lin yang mewakili Taylor University bukan saja meraih dua lagi emas, malah memecah rekod temasya dalam acara 400 meter gaya bebas dan 200m kuak dada wanita.

Dalam saingan 400m gaya bebas, pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 itu mencatat kepantasan 4 minit 31.67 saat, memadam rekod lama 5:03.51s milik Chui Lai Kwan.

Dia menewaskan Lee Zhien Huey (5:14.28s) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala perenang Universiti Malaya (UM), Irene Chong (5:22.72s) meraih gangsa.

Acara 200m kuak dada pula menyaksikan perenang kebangsaan itu mencatat 3:04.72s berbanding 3:07.5s sebelum ini. Perak milik Yeoh Tze Yi (3:10.70s) dari Inti International College dan gangsa diraih Kang Chern Lynn (3:12.29s) dari Majlis Sukan Matrikulasi.

"Saya gembira dengan dua emas yang diraih tetapi kurang berpuas hati dengan dengan cabaran yang diberikan peserta lain kerana mereka sebenarnya boleh beraksi dengan lebih baik.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi saya tetapi akan cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu dalam acara karate kategori kumite wanita bawah 68 kilogram, pemenang pingat emas Sukan SEA 2013, S. Shree Sharmini dari UPM berjaya meraih emas, menewaskan Siti Hajar Mohd. Azhar dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pingat emas kumite wanita melebihi 68kg milik S. Khasvini dari Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR).

, mengalahkan Christina Edris dari Politeknik Sabah dengan perak, manakala T. Sharmila dari Politeknik Terengganu serta Haani Lorea Mohd. Azmi dari UiTM berkongsi gangsa.

Mathavan Vickneswaran dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula merangkul emas kumite lelaki bawah 75kg manakala Theeban Govindasamy dari UPM memenangi emas kumite atas 84kg lelaki, manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Asyraf Jaapar dari UniSZA.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140215/su_07/Chai-Lin-pecah-dua-lagi-rekod#ixzz2tLE9sqOu © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment