Saturday, 8 February 2014

Ferdinand, Evra ikut jejak Vidic

 LONDON - Manchester United sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal dilakukan Rio Ferdinand dan Patrice Evra mengikut langkah kapten pasukan, Nemanja Vidic meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim ini.

Vidic akan meninggalkan skuad itu selepas lapan tahun dan skrip yang sama juga bakal dilakukan seorang lagi pemain pertahanan, Ferdinand, 35, yang akan dilepaskan selepas berakhir kontraknya.

Evra juga dilaporkan akan mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini ekoran kenyataan di Perancis bahawa dia mahu pulang ke negara itu dengan menjadikan keluarga sebagai alasan.

Pertahanan antarabangsa Perancis itu tertarik dengan Monaco yang mungkin akan kehilangan Eric Abidal pada musim panas ini.

Dia juga mempunyai peluang untuk beraksi bersama Paris Saint Germain yang sedang mencari pemain baharu untuk memperkukuhkan barisan pertahanan mereka.

Kemungkinan ketiga-tiga pemain senior itu akan meninggalkan skuad tersebut serentak juga semakin meningkat apabila Moyes dilaporkan sudah mula mencari pengganti mereka dalam pasukan.

Begitupun, pengendali United itu langsung tidak menunjukkan kebimbangan beliau kelmarin.

"Vidic berasakan waktunya sudah tiba dan kami juga rasa ini masa yang sesuai untuk dia keluar, namun dua daripada mereka hanyalah andaian," kata Moyes merujuk kepada Ferdinand dan Evra.

"Kami ada Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling, ketiga-tiga pemain ini bagus di bahagian tengah. Mereka akan menjadi masa depan kelab, pemain yang kami cari sekarang ialah pemain yang akan berada di sini untuk tempoh lima atau enam tahun lagi."

Vidic yang dilaporkan akan menyertai Inter Milan mungkin beraksi hari ini ketika United menentang Fulham di Old Trafford selepas digantung tiga perlawanan. - Agensi

KOSMO ONLINE 9.2.14

No comments:

Post a Comment