Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
berita@kosmo.com.my
INILAH SMK Bandar Rinching, Semenyih, Selangor tempat Kavinraj belajar.
KAJANG - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini
maut selepas dia nekad meminum racun serangga malam kelmarin dipercayai akibat
tidak tahan dibuli dan diejek rakan sekelas.
Mangsa, T. Kavinraj, 13, yang juga pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Bandar Rinching, Semenyih di sini mengalami tekanan perasaan selepas
diejek dan dipulau oleh rakan-rakan kerana dia tidak mempunyai bapa.
Akibatnya, anak sulung daripada empat beradik itu berasakan dirinya
terasing di sekolah itu tanpa sebarang kawan.
Bapa mangsa, P. Thangavelu, mati pada Disember 2012 akibat serangan strok.
Mendiang Thangavelu meninggalkan empat orang anak berumur antara lapan
hingga 13 tahun termasuk Kavinraj serta balu, B. Thanamalar, 43.
Mangsa yang mendapat keputusan 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching di sini juga dikatakan
dipulau rakan kerana ditempatkan di kelas keempat dan terakhir.
KAVINRAJ
Ibu mangsa, B. Thanamalar, mendakwa, anaknya itu mengadu telah meminum
racun serangga perosak yang disimpan di dalam rumah pada kira-kira pukul 9.30
malam.
"Dia datang kepada saya dan beritahu tekaknya terasa pedih sebab minum
racun. Mungkin dia sangat tertekan kerana teringat kepada bapanya.
"Saya cepat-cepat bawa dia ke Hospital Serdang. Semasa 15 minit
dirawat, dia disahkan mati selepas batuk darah," katanya semasa ditemui
pemberita di rumahnya di Bandar Rinching di sini semalam.
Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, B. Ananthi, 47, mendakwa, rakan sekelas
mangsa mengejek dan memulau Kavinraj setiap hari.
Keadaan itu menyebabkan anak saudaranya itu mengalami masalah kemurungan.
"Kawan-kawan dia ejek, budak pandai tak ada ayah, mana boleh duduk
kelas ini, pergi masuk kelas budak pandai. Tak sangka dia sangat tertekan
dengan ejekan itu," katanya.
Beliau menjelaskan, Kavinraj ada mengadu yang dia dibuli di sekolah dan
ibunya telah menasihatkannya supaya bersabar.
Katanya, anak saudaranya itu juga mengadu kepada gurunya supaya ditukarkan
kelas dan gurunya meminta supaya tunggu pada hari Isnin lepas.
"Dia ada memaklumkan perkara itu kepada ibunya semasa pulang dari
sekolah pada Khamis lalu tetapi pada malam Jumaat, dia minum racun,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab.
Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
KOSMO ONLINE 9.2.14
No comments:
Post a Comment