Oleh Esme Johari Wahab
Bergelar penjaring terbanyak
Liga Super sebanyak dua kali tidak membuatkan Marlon Alex James mendabik dada
dan menganggap dia berada dalam kalangan penyerang import terhebat sejarah bola
sepak Malaysia.
Pemain berusia 37 tahun itu
sebaliknya lebih suka melihat setiap musim memberikan cabaran berbeza, tidak
terlalu mengejar ‘rating’ menjaringkan gol kerana paling penting adalah
pasukannya menang.
Ikuti temu bual Arena Metro
bersama penyerang kelahiran Saint Vincent and the Grenadines memiliki
ketinggian 187sm itu yang beraksi bersama tiga pasukan berbeza sejak bermain di
Malaysia pada 2004.
Soalan (S): Marlon, bagaimana
kehidupan bola sepak di Malaysia sepanjang tujuh tahun di sini?
MARLON Alex James
Marlon (M): Sudah tentu
menyeronokkan kerana masih dapat terus bermain dengan pasukan berbeza. Bersama
MK Land, Kedah dan sekarang ATM bermakna saya sudah bermain untuk kelab serta
negeri. Malaysia ibarat rumah kedua, saya hanya balik ke Kingstown sekali atau
dua kali setahun.
(S): Anda sekarang pemain
import tertua dalam Liga Super Malaysia? Apakah ia memberi sebarang makna
kepada karier?
(M): Saya pemain tertua? Ia
hanya umur tetapi jika orang tanya kepada saya, saya akan cakap saya baru 30
tahun. Anda juga mungkin percaya jika tidak melihat wikipedia atau biodata
kelahiran saya. Umur tidak menjadi masalah kerana saya meletakkan tempoh satu
tahun lagi untuk bermain bola sepak secara kompetitif. Saya tidak tahu bersama
ATM atau pasukan lain selepas ini, kita tunggu dan lihat.
(S): Ramai orang ingin tahu,
apakah anda masih bujang atau sudah mendirikan rumah tangga?
(M): Saya memang tidak banyak
berbicara mengenai rumah tangga atau latar kehidupan saya kerana saya jenis
hanya akan bercakap apabila ditanya. Ia bukan bermakna saya terlalu peramah
atau tidak. Saya mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu dan kini mempunyai
dua cahaya mata. Anak sulung lelaki berumur enam tahun saya beri nama Malaya
dan perempuan berusia setahun, Azura. Dua anak dinamakan sempena orang Malaysia
kerana hati saya terpaut di sini selepas Kingstown. Isteri berada di Saint
Vincent dan saya pulang melihat keluarga jika cuti rehat panjang liga.
(S): Sebagai pemain luar,
bagaimana anda melihat bola sepak Malaysia, boleh cerita perkembangan tahap
bola sepak di sini?
(M): Soalan sensitif.
Pembangunan mencari bola sepak di Malaysia bagus. Kelemahan yang saya nampak
hanyalah kekurangan aspek profesionalisme pelbagai jabatan. Penyelenggaraan
pemain untuk maju ke depan tidak jelas, tidak pada tahap terbaik dan hala tuju
masa depan. Saya tidak mahu bercerita banyak kerana lebih baik anda sendiri
beritahu pihak berkenaan jika anda rasakan bola sepak negara anda tidak
memuaskan.
(S): Sepanjang di sini, apakah
memori indah bermain bersama Kedah dan ATM?
(M): Satu perkataan,
menakjubkan. Masing-masing ada karakter dan cara sendiri. Kejayaan bersama
Kedah memang paling hebat dalam karier kerana bergelar juara Liga Super pada
2006-2007 dan 2007/2008, Piala FA (2007 dan 2008) dan Piala Malaysia (2007 dan
2008). Persahabatan bola sepak berterusan hingga sekarang, cuma tidak dapat
menentang Kedah kerana mereka bermain Liga Perdana. Saya meraih anugerah
penjaring terbanyak bersama Kedah pada 2007-08 dan bersama ATM tahun lalu. ATM
menjulang Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia pada 2012.
(S): Siapakah pemain teknikal
luar negara dan pemain memiliki ‘sikap’ profesional sebenar di peringkat
antarabangsa?
(M): Saya meminati Zinedane
Zidane kerana dia mampu mengubah suasana dan rentak perlawanan. Pasukan lawan
sentiasa mahu melihat Zidane bermain. Dari segi mentaliti profesional dan sikap
bermain bola sepak, sudah tentu David Beckham, dia seorang disenangi ramai dan
di mana-mana saja orang mengenalinya. Dia memanfaatkan pengalaman membuka
akademi bola sepak di Amerika Syarikat dan generasi akan datang pasti terus
mengingatinya.
(S): Anda kelihatan agak serius
dan anda mudah melenting bila orang mengatakan anda tidak mampu menjaringkan
gol?
(M): Memang saya berasa berang
apabila tidak menjaringkan gol. Saya menjaringkan gol kerana tidak suka
pasukan ketinggalan, kalah dan mahu menang. Apapun buat masa sekarang saya
tidak meletak sasaran menjadi penjaring terbanyak kerana satu atau dua gol memadai
asalkan pasukan menang di tempat sendiri atau tempat lawan.
(S): Apakah anda jenis
berdisiplin, menjaga pemakanan dan muzik jenis apa disukai?
(M): Ya, saya memang menjaga
tidur sekurang-kurang antara 6 hingga 7 jam sehari. Saya tidak suka tidur lewat
dan mesti bangun awal. Saya tidak mengambil makanan pedas, berempah dan
berminyak kerana perut tidak tahan. Saya banyak makan sayur-sayuran dan tauhu.
Muzik kegemaran saya reggae dan calypso. Artis kegemaran sudah tentu Bob Marley
dan kumpulan UB40.
SUMBER:MYMETRO ONLINE 15.2.14
No comments:
Post a Comment