WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2014
Wan Jamak Wan Hassan Wan Jamak Wan Hassan
PENGENDALI PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan
pasukannya tetap berpeluang untuk mara ke separuh akhir kerana aksi timbal
balas kedua masih berbaki 90 minit menanti kedua-dua pasukan di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang pada 18 Februari ini.
Wan Jamak berkata, biar pun kalah tipis 2-3 kepada
Kelantan pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu, malam kelmarin, namun ia
sedikit pun tidak melunturkan semangat pemain mereka.
“Kami ada satu lagi perlawanan (suku akhir kedua) di
tempat sendiri minggu depan. Perjalanan masih lagi jauh buat pasukan ini.
Daripada situlah saya boleh merasai kepuasan (jika boleh mengalahkan Kelantan)
yang datang daripada diri sendiri atau pun pemain.
“Tetapi lebih penting sekarang, saya perlu mengingatkan
semua pemain kerana kami ada satu lagi perlawanan penting menentang Sime Darby
FC hujung minggu ini,” katanya.
Sedar mungkin ini peluang terbaik, Wan Jamak akui
bersedia merehatkan pemain utama pada pertemuan dengan Sime Darby FC sebagai
strategi menghadapi Kelantan nanti.
“Saya kena lihat dahulu sejauh mana kecergasan pemain
saya. Pemain kena beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari dan ini
meletihkan mereka. Kalau perlu rehatkan pemain utama untuk persiapan lawan Kelantan,
saya akan letakkan mereka di bangku simpanan,” katanya.
Mengulas kekalahan pada perlawanan tersebut, jurulatih
itu berkata corak permainan pasukannya yang tidak begitu agresif dan terlalu
memberi ruang kepada Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi membolehkan
lawan mendahului pada babak pertama.
“Saya ingatkan pemain jangan beri ruang kepada pemain
Kelantan dan hasilnya mereka menunjukkan permainan baik pada babak kedua.
Tetapi malang bagi kami apabila Kelantan dapat menjaringkan gol ketiga mereka,"katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 13.2.14
No comments:
Post a Comment