Thursday, 13 February 2014

Masih ada 90 minit

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2014
Wan Jamak Wan Hassan
Wan Jamak Wan Hassan Wan Jamak Wan Hassan
PENGENDALI PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan pasukannya tetap berpeluang untuk mara ke separuh akhir kerana aksi timbal balas kedua masih berbaki 90 minit menanti kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 Februari ini.

Wan Jamak berkata, biar pun kalah tipis 2-3 kepada Kelantan pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu, malam kelmarin, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat pemain mereka.

“Kami ada satu lagi perlawanan (suku akhir kedua) di tempat sendiri minggu depan. Perjalanan masih lagi jauh buat pasukan ini. Daripada situlah saya boleh merasai kepuasan (jika boleh mengalahkan Kelantan) yang datang daripada diri sendiri atau pun pemain.

“Tetapi lebih penting sekarang, saya perlu mengingatkan semua pemain kerana kami ada satu lagi perlawanan penting menentang Sime Darby FC hujung minggu ini,” katanya.

Sedar mungkin ini peluang terbaik, Wan Jamak akui bersedia merehatkan pemain utama pada pertemuan dengan Sime Darby FC sebagai strategi menghadapi Kelantan nanti.

“Saya kena lihat dahulu sejauh mana kecergasan pemain saya. Pemain kena beraksi dua perlawanan dalam tempoh tiga hari dan ini meletihkan mereka. Kalau perlu rehatkan pemain utama untuk persiapan lawan Kelantan, saya akan letakkan mereka di bangku simpanan,” katanya.

Mengulas kekalahan pada perlawanan tersebut, jurulatih itu berkata corak permainan pasukannya yang tidak begitu agresif dan terlalu memberi ruang kepada Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi membolehkan lawan mendahului pada babak pertama.

“Saya ingatkan pemain jangan beri ruang kepada pemain Kelantan dan hasilnya mereka menunjukkan permainan baik pada babak kedua. Tetapi malang bagi kami apabila Kelantan dapat menjaringkan gol ketiga mereka,"katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 13.2.14

No comments:

Post a Comment