MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
13 Februari 2014
Menang bukan kerana 4-4-2: Darby Mohd Badhri Radzi atau
Piya beraksi cemerlang dengan menjaringkan gol pertama pasukan Kelantan melalui
sepakan percuma yang diambilnya pada minit ke-3.
PENGENDALI The Red Warriors, Steve Darby tidak menganggap
kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Kota
Bharu, malam kelmarin berpunca daripada perubahan formasi yang dilakukan
olehnya.
Sukar difahami pendirian Darby, sama ada masih
mempertahankan sistem 3-5-2 atau kekal dengan 4-4-2, itu pun setelah akur
dengan desakan peminat, namun yang pasti masalah kekurangan pemain di benteng
pertahanan dijadikan alasan mengapa dia menggunakan formasi kegemarannya
sebelum ini.
“Saya tidak kisah formasi apa sekali pun kami gunakan.
Seperti saya beritahu sebelum ini, kami bermain 3-5-2, jika penjaga gol
menangkis serangan dan penyerang menjaringkan gol, semua formasi yang anda
gunakan sama sahaja dan berupaya menampung kekuatan pasukan.
“Kami bermain 4-4-2 malam ini kerana sekarang kami ada
ramai pemain pertahanan. Sebelum ini kami tiada pemain dan itu merupakan
masalah besar bagi Kelantan. Kami menang bukan kerana 4-4-2 tetapi kerana
menjaringkan lebih banyak gol. Itu yang membezakannya,” katanya di sidang
media, malam kelmarin.
Jurulatih kelahiran England itu bagaimanapun tidak
menolak akan menggunakan formasi berkenaan pada aksi seterusnya termasuk
perlawanan terdekat saingan Liga Super, Kelantan menentang T-Team di Kota Bharu
pada Sabtu ini.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Darby mengakui
secara keseluruhannya dia berpuas hati dengan prestasi anak didiknya namun
sedikit kecewa setelah membenarkan PKNS FC menjaringkan dua gol pada perlawanan
itu.
“Kalau boleh kami mahu menang 6-0 tetapi itu tidak
berlaku. Kami mungkin boleh menang 4-2 tetapi kecemerlangan penjaga gol lawan
menafikan hasrat kami. Apa pun saya tetap gembira dengan kemenangan ini. Saya
tidak akan gembira jika Kelantan seri atau kalah kepada PKNS FC malam ini (malam
kelmarin).
“Anda tidak boleh mempertikaikan sumbangan pemain saya.
Mereka bekerja keras sepanjang perlawanan ini. Saya lihat kedua-dua pasukan
keletihan tetapi kami tiada alasan di sebalik perkara ini dan sebab itu saya
menggilirkan pemain pada perlawanan ini,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus menggunakan sistem penggiliran
pemain memandangkan pasukannya berdepan dua perlawanan penting iaitu menentang
T-Team dalam saingan Liga Super dan PKNS FC pada aksi timbal balas kedua Piala
FA dalam tempoh empat hari.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 13.2.14
No comments:
Post a Comment