Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak ketika
mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) di Putrajaya, semalam.
Turut hadir, Abdul Rahman Dahlan; timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Sadique dan
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. - BERNAMA
PUTRAJAYA 13 Feb. - Program
MyHome yang akan dilancarkan kerajaan pada 1 April ini akan memberikan subsidi
maksimum sehingga RM30,000 kepada mereka yang layak untuk membeli rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, program tersebut akan melibatkan kira-kira 10,000 unit
rumah yang dibina oleh pihak swasta dengan peruntukan keseluruhan sebanyak
RM300 juta.
Beliau berkata, langkah yang
bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah itu diputuskan dalam mesyuarat
pertama Majlis Perumahan Negara yang dipengerusikannya hari ini.
"Program MyHome merupakan
satu usaha yang mana kerajaan akan memberi insentif kepada sektor swasta untuk
membina rumah-rumah kos rendah yang sangat dikehendaki oleh rakyat.
"Jika pemaju mengambil
bahagian dalam skim ini, rumah berharga RM70,000 akan dijual pada harga
RM40,000 dan ini bermakna kerajaan akan memberi subsidi kepada pembeli yang
layak sebanyak RM30,000," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana
Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman
Dahlan.
Program MyHome merupakan sebuah
projek khas bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang diumumkan oleh
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014 tahun lalu.
Najib berkata, penentuan jumlah
subsidi kepada pembeli yang layak bergantung kepada harga sebuah rumah kos
rendah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
"Mungkin ada yang dapat
subsidi RM20,000 dan ada juga yang mendapat subsidi RM10,000. Semuanya ini
bergantung kepada harga rumah murah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri,"
ujarnya.
Perdana Menteri berkata,
mesyuarat itu turut menetapkan syarat-syarat pembeli yang layak menyertai
program tersebut iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah RM3,000 dan ke
bawah.
"Syarat-syarat lain rumah
tersebut mestilah rumah yang pertama dan mereka dilarang menjual rumah itu
dalam tempoh 10 tahun," ujarnya.
Najib berkata, subsidi
berkenaan akan dibayar terus ke akaun pembeli.
Mengulas lanjut, beliau
berkata, pemaju mesti memohon untuk menyertai skim itu dan pemilihan akan
tentukan oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, senarai pembeli juga
akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.
Sementara itu, Najib berkata,
satu pangkalan data yang dikenali sebagai Rumahku Exchange akan diwujudkan
supaya segala perkara berkaitan dengan perumahan mudah diperoleh.
"Mana-mana pemaju yang
ingin menyertai program ini bolehlah memohon kepada pihak kementerian dan
seterusnya orang ramai boleh memohon selepas pelancarannya pada 1 April
ini," ujarnya.
SUMBER:ArtikelPenuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140214/dn_01/iMyHomei-Subsidi-RM30000#ixzz2tHdfh8gO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment