Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
KHAIRAN EZUAN mengangkat sumpah al-Quran pada satu majlis di Hotel TH
Terengganu malam tadi.
SEORANG pegawai dan pemain pasukan T-Team mengotakan janji mengangkat
sumpah al-Quran berhubung insiden kekecohan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu.
Pada majlis itu yang diadakan malam tadi, penolong jurulatih T-Team, Azlan
Johar mengetuai upacara mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar Terengganu,
Datuk Seri Ahmad Said sambil disaksikan Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Rozi
Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan
Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Seorang pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali yang juga rakan serumah Mohamad
Irfan Abd. Ghani turut melakukan perkara sama.
Sebelum ini, Irfan yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT)
mencetuskan kontroversi apabila mendakwa tiada sebarang kekecohan berlaku di
dalam terowong menujuk ke bilik persalinan pemain.
Azlan dan Khairan Ezuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan
sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana
pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk pada bahagian muka.
Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh
semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, kelibat Irfan tidak kelihatan sepanjang majlis tersebut yang
diadakan di Hotel Tabung Haji (TH) Terengganu malam tadi.
Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat
sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.
"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang
dibuat itu benar sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja
mengada-adakan cerita mengenai kejadian (yang berlaku).
"Jika mereka (pemain dan pegawai Johor DT) tidak mahu mengangkat
sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting, kita buat perkara yang
sepatutnya," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad turut mencabar Irfan supaya tampil untuk mengangkat
sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah
berlaku sebelum ini.
"Saya sanggup beli tiket flight untuk dia datang ke mari jika dia
sanggup bersumpah," katanya.
SUMBER:KOSMO ONLINE 11.2.14
No comments:
Post a Comment