KAKITANGAN pengawal pantai
negara Jepun meneliti maklumat dan peta dalam usaha mengesan pesawat MH370 di
sebuah lokasi di Laut China Selatan, semalam. - REUTERS
WASHINGTON 15 Mac - Pesawat
MH370 yang hilang sejak lapan hari lalu, dikhuatiri terhempas di Lautan Hindi
akibat kehabisan minyak selepas terbang sejauh beribu kilometer.
Rangkaian televisyen CNN yang
memetik kenyataan sumber di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, satu analisis
berdasarkan isyarat lemah yang dihantar kepada satelit dan data radar tentera
mendapati, pesawat MH370 berkemungkinan terhempas sama ada di Teluk Bengal atau
lokasi lain di Lautan Hindi.
Laporan analisis tersebut yang
dilakukan oleh pasukan penyiasat Malaysia dan AS mungkin dapat mengecilkan
kawasan pencarian pesawat terbabit yang hilang sejak seminggu lalu.
Kedua-dua pihak turut
menjalankan analisis secara terperinci bagi mencari petunjuk kemungkinan
pesawat itu menukar haluan penerbangan merentasi Semenanjung Malaysia dan
menghala ke Teluk Bengal atau lokasi lain di bahagian barat daya Lautan Hindi.
Dalam pada itu, sumber
berkenaan berkata, isyarat lemah yang diterima satelit menunjukkan pesawat
terbabit menempuh penerbangan sejauh beribu-ribu kilometer sebelum terhempas di
Lautan Hindi akibat kehabisan minyak.
Sumber itu menambah, pesawat
MH370 tidak mungkin memasuki ruang udara India yang dilengkapi kekuatan
pertahanan udara dan kawasan liputan radar yang luas bagi mengesan serta
memintas kapal terbang berkenaan.
Jelasnya, isyarat yang dihantar
pesawat ibarat 'tanda berjabat tangan' atau komunikasi ringkas antara pesawat
dan satelit.
"Dalam keadaan normal,
kedua-dua sistem akan berkongsi data yang lebih banyak, namun kes MH370
menunjukkan sistem transponder pesawat itu, dipercayai ditutup dengan sengaja.
"Bagaimanapun tiada lokasi
tepat dapat dipastikan melalui isyarat lemah yang dikesan satelit, sekali gus
tidak membantu operasi mengesan kedudukan pesawat itu," kata sumber
tersebut. - AGENSI/REUTERS
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140316/dn_05/Dikhuatiri-terhempas-di-2-lokasi-Lautan-Hindi#ixzz2w5H5Irvi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment