Oleh AZRUL NAIMI
SEPANG 16 Mac - Operasi mencari
dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sembilan hari lalu kini menjadi
lebih sukar dengan peluasan kawasan pencarian dan pertambahan negara yang
terlibat di dalam operasi tersebut.
Menurut Pemangku Menteri
Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, negara yang terlibat di
dalam operasi itu telah bertambah kepada 25 negara dan melangkau 11 sempadan
negara.
"Operasi pencarian semakin
sukar kerana ia membabitkan dua koridor laluan. Walau bagaimanapun, kami masih
komited dalam mencari pesawat berkenaan," kata Hishamuddin pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Kementerian
Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan sedang berunding
dengan beberapa buah negara mengenai bentuk bantuan yang diperlukan dalam
operasi SAR pesawat MH370 yang sudah masuk hari kesembilan.
Kenyataan tersebut turut
berkata, bentuk bantuan yang diperlukan bukan sahaja terdiri daripada aset laut
dan udara tetapi termasuk data satelit berserta analisis, data radar dan
kepakaran pencarian darat.
Negara-negara tersebut ialah
Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgystan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India,
China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.
Pada 8 Mac lalu, pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dilaporkan hilang selepas terputus hubungan
dari menara kawalan udara (ATC) Subang.
Selepas lapan hari operasi SAR,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pesawat yang membawa
239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu telah diubah haluan oleh seseorang di
dalam pesawat berkenaan. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140316/dn_45/Operasi-mencari-MH370-masuki-era-baharu-semakin-sukar#ixzz2wAkzWkcu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment